SEPANJANG jendela perpindahan ini, Terengganu FC dilihat kerap melakukan rombakan selepas hampir keseluruhan pemain utama mereka meninggalkan pasukan.
Lebih menggerunkan lagi, konflik yang berlanjutan antara pihak pengurusan dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain berakhir dengan pengendali itu meninggalkan pasukan.
Demi menyelesaikan perkara itu, bekas Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner dilantik untuk memegang jawatan itu untuk musim akan datang.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam bidang kejurulatihan, dia yang sudah berkhidmat bersama kelab Pantai Timur itu sejak 2020 pastinya mengetahui selok belok pasukan.
Jadi, bagi memastikan skuad Sang Penyu mampu meneruskan kemaraan mereka di peringkat domestik dan antarabangsa, pelaburan secara besar-besaran dilakukan sepanjang jendela perpindahan.
Dua pemain berasal dari Croatia, Domagoj Pusic dan Ivan Mamut dibawa masuk bagi digandingkan bersama rakan sepasukan di posisi masing-masing.
Selain itu, bagi menggantikan pemergian penyerang import, Tchetche Kipre, Terengganu FC memilih untuk membawa masuk pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.
Namun, di sebalik perpindahan itu, penyokong lebih berminat untuk menyaksikan kemampuan pemain sayap, Nik Sharif Haseefy yang sebelum ini hanya dibawa masuk secara pinjaman.
Sepanjang beraksi buat skuad Sang Penyu pada 2022, graduan Sri Pahang FC membentuk gandingan trio serangan cukup mantap bersama Kipre dan Faisal Halim.
Hal tersebut dapat disaksikan apabila dia mengumpul sebanyak 18 penampilan Liga Super, termasuk menjaringkan dua gol dan tiga assist.
Nik Sharif memerlukan masa untuk terus berkembang bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, tidak timbul sebarang keraguan akan kemampuannya dengan segelintir penyokong mula melabel bekas penyerang Selangor FC itu sebagai pengganti buat Faisal.
Tetapi, berdasarkan pemerhatian di laman media sosial, terdapat beberapa pandangan yang berasakan anak jati Kuantan, Pahang itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenarnya.
Perkara itu diluahkan Ahmad Al-Maqdad yang berasakan Tomislav perlu memberi kepercayaan terhadap pemain muda, Syafik Ismail dengan lebih kerap dalam kesebelasan utama.
"Nik Sharif rasanya tidak boleh bermain sebagai pemain sayap kanan dan perlu digantikan dengan Syafik untuk berikan dia masa bagi tujuan fizikal juga," katanya.
Bagi Izuandy Zakri Wady pula, posisi yang ditinggalkan Faisal lebih sesuai untuk diisi seorang lagi pemain sayap muda iaitu Muslihuddin Atiq Mat Zaid berbanding Nik Sharif.
"Dalam kesebelasan utama, Nik Sharif boleh tak jika digantikan dengan Atiq?" soalanya ringkas.
Bagaimanapun, di sebalik persembahan yang kurang menyerlah itu, perlu juga diingatkan bahawa Nik Sharif tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik.
Perkara itu akhirnya memberi kesan negatif terhadap pemain berketinggian 1.68m tersebut apabila dia mengalami kecederaan ketika berdepan Kelantan United FC di laman sendiri pada 24 Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram