TIDAK boleh dinafikan bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT) memiliki satu pertalian yang cukup menarik dalam arena bola sepak tempatan.
Pertembungan kedua-dua pasukan di atas padang kerap menyajikan momen-momen terbaik dengan pemain cukup bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik.
Misalnya, aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada 4 Oktober 2022 terpalit dengan kontroversi berikutan pertelingkahan antara kedua-dua pasukan.
Tidak cukup dengan itu, pertikaman lidah antara mereka juga dapat disaksikan di luar padang, lebih-lebih lagi antara dua figura penting di sebalik pasukan masing-masing.
Hal itu dapat disaksikan apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim kerap usik-mengusik bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
Bagaimanapun, konflik tersebut dikatakan tidak lebih daripada usaha kedua-dua pihak untuk terus melonjakkan lagi status sukan tersebut dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Foto Azraai yang menyarung jersi Harimau Selatan mencetuskan perbincangan hangat. — Facebook/Mazlan Mat Napiah
Baru-baru ini, JDT dan KDA FC sekali lagi mencuri perhatian ramai pihak selepas bekas pengendali skuad Sang Kenari, Mohd Azraai Khor Abdullah dilihat menyarung jersi pasukan Selatan itu.
Perkara itu dimuat naik pengguna Facebook, Mazlan Mat Napiah yang memaparkan legenda Kedah tersebut sempat meluangkan masa bagi membincangkan perihal bola sepak.
Sejak menamatkan karier kejurulatihannya pada 2018, Azraai kerap dijadikan rujukan dengan pengalamannya bersama Kedah FA cukup bermakna.
Ini termasuk kejayaan untuk menjulang tiga trofi semusim buat dua tahun berturut-turut, sekali gus mendapatkannya jolokan 'double treble'.
Namun, meskipun tindakan Azraai menyarung jersi JDT itu dilihat sebagai satu tindakan 'membelot' dalam kalangan penyokong Hijau Kuning, perlu diingatkan bahawa Azraai kerap memilih untuk mengamalkan persaingan sihat, seperti mana dapat disaksikan sepanjang tempoh kejurulatihannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram