Idea bawa masuk bekas 'striker' TFC ke skuad Jang ditolak mentah-mentah


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Akanni (kiri) meninggalkan pasukan TFC pada musim 2018. — Facebook/TFC

WALAUPUN saingan Liga Super 2023 akan membuka tirainya tidak lama lagi iaitu pada 24 Februari, namun khabar angin perpindahan pemain masih rancak dibualkan.

Seperti suasana yang berlaku di kem Negeri Sembilan FC (NSFC), desas-desus mengatakan bahawa bekas tonggak Terengganu FC (TFC) difahamkan akan berhijrah ke skuad Jang bagi membantu memperkukuhkan pasukan mereka.

Bekas pemain import yang dimaksudkan akan menyarung jersi kelab Negeri Sembilan ialah Akanni Sunday yang sebelum ini beraksi untuk UKM FC pada 2021.

akanny

Akanny sewaktu diumumkan sebagai pemain UKM FC. — Agensi

Khabar angin tersebut bermula apabila kelibat penyerang kelahiran Nigeria itu dilihat di Seremban, sekali gus mencetuskan persoalan persoalan sama ada Akanni semakin hampir menyertai skuad Jang atau hanya bercuti.

Sebelum bersama Terengganu pada 2018, pemain berusia 38 tahun itu menjadi antara penyerang yang digeruni dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika menyarung jersi UiTM FC pada musim 2017.

Untuk rekod, Akanni hanya sempat tampil dalam dua perlawanan untuk skuad utama TFC dan selebihnya dia menyertai TFC II untuk membantu memantapkan jentera serangan bagi saingan Liga Perdana.

Meskipun sudah mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga M) namun penyokong skuad Jang menolak mentah-mentah idea untuk membawa penyerang berkenaan.

Salah satu faktor pemain ke-12 skuad Jang tidak bersetuju ialah usia Akanni dan dia juga sudah berada di penghujung kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Mak ai, biar betul Negeri Sembilan? Umur pun dah 38 tahun, nak dribble pun tidak larat dah," komen penyokong skuad Jang, Ahmad Ahmad.

"Dah tua sangat itu, lebih baik dari pemain muda sikit," tambah seorang lagi penyokong NSFC, Zuhayr YHussin.

"Umur dah dekat 40 tahun. Baik kau ambil Safee Sali saja," luah penyokong NSFC, Lan Chiaw.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 13.22.47

Gustavo juga memuat naik videonya beraksi bersama Al-Nasr SC. — Facebook/NSFC

Kehadiran Akanni ke skuad Jang berkemungkinan untuk menggantikan posisi penyerang berbisa dari Brazil, Matheus Alves dan gandingannya Gustavo Almeida yang dilihat tidak terlibat dalam sesi pramusim bersama NSFC.

Hal ini kerana, pihak pengurusan skuad Jang masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status kedua-dua pemain itu.

Namun berdasarkan laman Transfermarket, Gustavo kini bersama kelab Kuwait, Al-Nasr SC dan Alves pula masih kekal di Negeri Sembilan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram