SKUAD Sang Kenari 'keluar' dari sarang dan terbang ke Turkiye bagi menghadapi perlawanan persahabatan aksi pramusim membabitkan pasukan dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine.
Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mahu kelab itu memanfaatkan sepenuhnya peluang berlatih di Turkiye menerusi program jelajah pramusim dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, beliau memberi pesanan supaya setiap pemain KDA FC dapat menjaga persahabatan dengan semua pihak.
Katanya, ini kerana ia memberikan peluang kepada mereka menambah rangkaian baharu dengan mengenali rakan baru dalam dunia bola sepak sekali gus membina kerjaya masing-masing.
Daud Bakar (berbaju merah) bergambar kenangan dengan pasukan KDA FC di KLIA.
"Semalam (Ahad) adalah detik indah buat saya. Selalunya saya yang terbang. Semalam saya datang ke (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepada pasukan Sang Kenari yang terbang hampir 11 jam untuk sampai di Istanbul dan kemudian satu jam lebih dari Istanbul ke resort latihan serta perlawanan di Antayla.
"Sang Kenari belum pernah terbang sejauh itu. Kali ini Sang Kenari dipaksa terbang meninggalkan zon selesa bagi menghadapai iklim, persekitaran dan pasukan serta rakan-rakan baru jauh dari sarang di negeri Kedah.
"Saya dapat lihat keterujaan pada wajah masing-masing. Semuanya ingin menghirup udara segar di Antayla sambil memperkuatkan kemahiran dan cara fikir sebagai pemain bola profesional. Saya pun teruja nak tag along dengan mereka. Kerja saya masih banyak di Malaysia," katanya.
Daud berkata, menerusi ucapan ringkas kepada pasukan, beliau menyebut bahawa pentas di Antayla adalah satu bentuk ujian karakter, mindset, visi dan kemahiran (character, mindset, vision and skill).
"Saya juga pesan supaya setiap pemain dapat menjaga persahabatan dengan semua pihak. Inilah peluang mempunyai rakan baru dalam dunia bola sepak dalam membina kerjaya mereka.
"Saya juga pesan supaya dengar cakap dan hormat kepada coach. Be a better you. Be a better team when you are done in Antayla," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua peminat yang bersusah-payah datang memeriahkan majlis tersebut selain mengalungkan penghargaan kepada pihak Turkish Airlines serta ejen-ejen perlancongan yang memudah cara urusan anak-anak buahnya.
"Waktu saya menaip posting ini pukul 7.30 pagi, Sang Kenari masih di awan biru. Semoga mereka juga bermimpi tinggi setinggi kedudukan mereka sekarang.
"Selamat berangkat dan selamat pulang," katanya.
Import KDA FC, Manuel Hidalgo melayan peminat cilik Sang Kenari. — Facebook
Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada Khamis ini, diikuiti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center (10 Februari).
Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari.
Semua perlawanan akan berlangsung pada pukul 5 petang waktu Turkiye bersamaan 10 malam waktu Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram