Kuala Perlis bakal jadi hab sukan permotoran, aktiviti lasak


  • Primer
  • Isnin, 06 Feb 2023

Hasrat berkenaan bersesuaian dengan cita-cita KBS untuk menarik lebih ramai penggemar sukan lasak dalam kalangan remaja.

AHLI Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berhasrat untuk membangunkan daerah tersebut sebagai hab sukan permotoran dan destinasi pelancongan sukan lasak.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ingin memberi galakan kepada anak muda untuk terlibat dalam sukan itu.

"Kita mempelawa mana-mana penganjur yang berminat memilih Kuala Perlis sebagai tapak penganjuran sukan permotoran kerana kita ingin tarik lebih ramai pengunjung ke sini seterusnya menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat yang sebahagian besarnya terdiri daripada keluarga nelayan,” katanya pada Isnin.

Menurut Abu Bakar, kerajaan negeri juga bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadikan Kuala Perlis sebagai hab sukan permotoran dan destinasi pelancongan sukan lasak sekali gus menyediakan tempat bagi membantu penganjur.

Beliau berkata, setakat ini, sambutan yang diterima daripada penganjur amat menggalakkan selepas Pertandingan 4X4 di Pulau Ketam, Selangor pada Sabtu lepas.

"Selepas ini akan ada satu lagi kejohanan sukan permotoran iaitu kejohanan motocross pada Mac ini. Penduduk Kuala Perlis mula berminat dengan sukan ini dan insya-ALLAH saya berharap pada masa akan datang, kita dapat mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, selain penganjuran sukan permotoran, kerajaan Perlis juga akan menganjurkan Kampen Bersih dan Cantik Kuala Perlis sebagai usaha mengindahkan daerah ini yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram