Anak jati Sang Kenari kian menyinar di sebalik 'hilangnya' arkitek Pinoy


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Antara aksi pemain Kedah sewaktu perlawanan menentang bagi Kejohanan Piala Harapan 2023. — Facebook/KDAFC

HASRAT melihat Derbi Utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi pusingan akhir Kejohanan Piala Harapan 2023 tidak kesampaian selepas Sang Kenari tewas 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Selangor FC.

Sepakan penentuan itu dibuat selepas kedua-dua pasukan gagal untuk mencetak jaringan pada masa sebenar dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kekalahan tipis itu dilihat tidak mematahkan semangat penyokong Sang Kenari, malah mereka berpendapat berlaku peningkatan dari segi persembahan pemain KDA FC jika dibandingkan dengan tiga perlawanan persahabatan sebelum ini.

KDA FC sebelum ini membuat perlawanan persahabatan menentang Skuad Projek FAM-MSN, Kelantan FC dan Perlis United dan ketiga-tiga aksi berkenaan menyaksikan kemenangan berpihak kepada Sang Kenari

Antara perkara positif yang dilihat oleh penyokong Sang Kenari ialah peningkatan persembahan permainan dari pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik.

WhatsApp Image 2023-02-03 at 15.37.04

Amirul Hisyam mulai menyarung jersi Kedah pada 2015. — Facebook/KDAFC

Dari segi hantaran sehingga ke sepakan penalti pada perlawanan menentang skuad Gergasi Merah, penyokong berasakan pujian layak diberikan kepada pemain berusia 27 tahun itu.

"Kemuncak dia (Amirul Hisyam) confident bila ambil penalti. Pressing, hantaran fluid (lancar), intercept dia pun menjadi. Makin ada peningkatan dari segi confident pegang bola," memetik penyokong skuad Hijau Kuning.

"Puas hati tengok corak permainan. Amirul dah makin okay, harap musim ini dia kurangkan buat salah bodoh," tambah seorang lagi penyokong Kedah, Muhamad Faidzal Bin Zakaria.

"Walaupun bermain di padang licin tapi permainan masih okay lagi. InshaaALLAH berjaya," kata penyokong Kedah, Mahir Kedah.

Dalam pada itu, kehilangan Manuel Ott untuk mengetuai jentera tengah dalam perlawanan tersebut juga dirasai kerana rata-ratanya berpendapat pemain kacukan German-Filipina itu mampu membawa kemenangan buat Kedah.

"Pendapat aku, jentera tengah kurang mobiliti sebab Manuel Ott tidak ada. Jadi tengah kurang kuat, sebab itu kita tidak dominan di tengah," komen penyokong Kedah, Megat Mahyuddin.

"Manuel Ott tiada, patut tidak menjadi sangat," tulis penyokong Kedah, Muhd Amzar.

Sang Kenari bakal bertemu pasukan dari Singapura, Geylang United bagi penentuan ketiga dan keempat Piala Harapan 2023 pada petang Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram