JADUAL Liga Super yang diumumkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan sebanyak 14 pasukan bakal berentap merebut trofi berprestij itu bermula 24 Februari depan.
Oleh itu, bagi membolehkan mereka lebih bersedia, beberapa aksi persahabatan sudah dirancang bagi menilai kemampuan skuad yang dibarisi wajah-wajah baharu.
Dalam masa sama, perlawanan berkenaan turut diadakan bagi membolehkan barisan kejurulatihan menyuntik eleman baharu terhadap pemain, baik dari segi taktikal atau gaya permainan.
Antara pasukan yang kerap mengadakan aksi pra-musim sejak awal Januari lalu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan baik berjaya dicatatkan.
Selepas memulakan langkah dengan membenam Perlis United 4-0, pasukan Utara tanah air itu memilih untuk berentap bersama dua kelab Liga Perdana 2022, Kelantan FC dan skuad Projek FAM-MSN.
Dalam dua perlawanan itu, anak-anak buah Nafuzi Zain mencatatkan keputusan 2-0 ketika berdepan skuad The Red Warrior (TRW) sebelum menjaringkan enam gol ketika berdepan pasukan tercorot liga itu.
Bagaimanapun, cabaran terbesar mereka ketika aksi pra-musim ialah pertemuan bersama Selangor FC dalam aksi Piala Harapan 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis depan.
Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Batu Kawan, Penang itu dijangka dihadiri ribuan penyokong yang tidak sabar-sabar untuk melihat kemampuan pasukan.
Manakan tidak, pelaburan besar yang dibuat kedua-dua kelab tersebut meletakkan mereka sebagai pilihan untuk menjadi salah satu pencabar pada 2023.
Malah, melihat kepada pasukan sedia ada, tiga nama baharu dijangka mencuri perhatian selepas perpindahan ke kelab masing-masing menjadi buah mulut penyokong bola sepak sejak beberapa bulan lalu.
1. Faisal Halim
Nama pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim tidak perlu diperkenalkan lagi apabila dia merupakan antara penyerang terbaik ketika berkhidmat bersama Terengganu FC musim lalu.
Walaupun khabar angin sudah mengaitkannya dengan skuad Gergasi Merah, ia bukanlah satu penghalang buat penyokong yang berhasrat untuk menyaksikan Faisal bersama Selangor FC.
Oleh itu, dengan mereka masih belum mengadakan sebarang aksi persahabatan, pertembungan bersama KDA FC pastinya menjadi platform untuknya menyerlah.
Faisal Halim dibawa masuk dengan reputasi besar. — Facebook/Selangor FC
Ketika bersama skuad Sang Penyu, pemain berusia 25 tahun itu menjadi salah satu sebab di sebalik kemaraan mereka ke pentas Asia apabila menjaringkan enam gol dan mencipta sembilan hantaran dalam 20 penampilan liga.
Kehadirannya itu pastinya membawa semangat baharu buat pasukan Lembah Klang itu apabila mereka berdepan sedikit masalah di jentera serangan musim lalu.
Lebih menarik lagi, perlawanan tersebut juga merupakan pertemuan semula antara Faisal dan bekas pengendalinya, Nafuzi Zain dengan kedua-dua mereka memiliki hubungan istimewa ketika berada di Terengganu FC.
Hal itu pasti akan membangkitkan lagi semangat penyokong bola sepak tempatan yang mengharapkan aksi terbaik buat pemain itu untuk mencipta keserasian bersama rakan sepasukan baharu.
2. Ayron del Velle
Pada awal jendela perpindahan, khabar angin kencang bertiup dengan mengatakan Selangor FC tidak berhasrat untuk mengekalkan khidmat penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion.
Meskipun muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan, ciri-ciri pemain itu yang kerap menunggu hantaran daripada rakan sepasukan kurang disenangi ramai pihak.
Oleh itu, dengan dia memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) City FC, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe pasti melakukan rancangan untuk menggantikannya.
Mampukah del Valle memberi sentuhan seperti mana yang diharapakan penyokong? — Facebook/Selangor FC
Pencarian itu akhirnya terhenti apabila mereka mengambil keputusan untuk menyambar khidmat pemain kelahiran Colombia, Ayron del Valle daripada kelab Mexico, Queretero FC.
Walaupun usianya sudah mencecah 34 tahun, statistik dan gaya permainannya dikatakan menjadi punca dia dipilih untuk menguatkan barisan serangan Gergasi Merah.
Jadi, del Valle dijangka membuat penampilan pertamanya secara tidak rasmi ketika berdepan skuad Sang Kenari, yang mana pastinya tidak dapat dinantikan penyokong kelab itu.
Namun, dengan dia baru sahaja tiba Sabtu lalu, adakah Cheng Hoe akan memilih untuk menurunkannya apabila dia memerlukan waktu untuk berada dalam sesi latihan.
3. Jonathan Balotelli
Sepanjang jendela perpindahan, barisan serangan Sang Kenari merupakan fokus utama apabila mereka dilihat kerap membawa masuk wajah-wajah baharu di posisi berkenaan.
Penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira dan pemain berasal dari Ghana, Ebenezer Assifuah menjadi sandaran untuk menerajui pasukan dari segi serangan.
Namun, nasib kedua-dua mereka dilihat sedikit berbeza apabila Willian terus bersinar manakala Ebenezer sedikit kurang bernasib baik dengan dia masih bergelut akibat kecederaan.
Sentuhan Balotelli bersama kelab lamanya menjadi satu tarikan. — Facebook/KDA FC
Oleh itu, bagi memastikan mereka benar-benar bersedia, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menyambar khidmat seorang lagi penggempur dari Brazil, Jonathan Balotelli.
Selepas menjaringkan 19 gol daripada 38 penampilan bersama Jeonnam Dragons, pemain berusia 33 tahun itu ditandatangani KDA FC untuk musim akan datang.
Jadi, statistik tersebut pasti menjadi panduan kepada penyokong Hijau Kuning yang mula berharap kehadiran Balotelli dapat menyuntik semula semangat berkobar-kobar buat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram