Bekas Adun Sanglang cedera dipukul lelaki mental ketika menderma di Kangar


  • 112
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Mohd Zain diserang oleh suspek di hadapan masjid ketika mengisi duit dalam tabung anak yatim.

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang mengalami kecederaan selepas diserang dengan kerusi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas mendengar tazkirah di Masjid Alwi awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, Datuk Mohd Zain Hamzah, 87, mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelah kanan selepas dipukul dengan kerusi kecil kira-kira 5.30 pagi Jumaat.

"Mangsa berkata, beliau diserang oleh suspek di hadapan masjid ketika mengisi duit dalam tabung anak yatim selepas mendengar tazkirah di masjid berkenaan.

"Polis menahan seorang suspek warga tempatan berumur 65 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis dan motif serangan masih dalam siasatan.

Katanya suspek dipercayai mengalami masalah mental.

Mohd Zain merupakan bekas Adun Sanglang selama dua penggal dari 1978 hingga 1986. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram