Saya risau ada pemain yang kena jual pisang goreng — Teong Kim


  • Podium
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Teong Kim cukup berpengalaman dalam mengemudi bola sepak dari peringkat akar umbi. — Facebook/Perak FC

KETUA jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menyuarakan kerisauannya ke atas keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menghapuskan format divisyen kedua tempatan.

Katanya, pendekatan yang dibuat mulai musim ini dikhuatiri akan menyekat peluang ramai pemain sehingga memaksa mereka untuk mencari kerjaya lain.

"Bagi saya, Liga Super itu bagus kerana lebih banyak pasukan bermain, tetapi sayangnya divisyen dua (Liga Perdana) tiada, ramai (pemain) yang tiada kerja. Ini membantutkan perkembangan bola sepak kita kerana sekarang ramai pemain perlukan masa itu untuk berkembang tetapi tiada peluang untuk bermain di sana.

"Tidak sesuai untuk mereka (beraksi) di liga bawahan yang terlalu rendah untuk perkembangan mereka. Ini bukan kritikan tetapi satu fakta. Memang bagus apa yang dilakukan MFL itu tetapi saya tidak faham mengapa liga divisyen dua itu tiada. Ramai pemain akan jual pisang goreng," katanya.

Teong Kim berkata demikian ketika sidang media pra-perlawanan pada Jumaat antara skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, pengendali berusia 60 tahun itu pernah terlibat dalam pelbagai projek pembangunan akar umbi, termasuk menjadi Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari 2014 hingga 2019.

Dalam masa sama, Teong Kim juga berhasrat anak-anak buahnya dapat beraksi dengan baik ketika berdepan skuad Warga Kota walaupun sekiranya gagal mencatatkan kemenangan.

"Kami mahu menghiburkan penonton. Mereka hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dan kadang-kadang, jika gaya permainan cukup baik tetapi kami kalah, penonton akan rasa terhibur," katanya.

Pertembungan kedua-dua pasukan Liga Super itu merupakan persiapan mereka untuk menghadapi cabaran Liga Super yang menjanjikan saingan lebih hebat dengan pertambahan pasukan daripada 12 ke 14. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram