'Semuanya lancar', Trucha kongsi visi Kelantan United lakar kejutan


  • Podium
  • Khamis, 02 Feb 2023

Kehadiran Trucha diharapkan mampu mencetuskan perubahan buat Kelantan United FC. — Facebook/Kelantan United FC

MESKIPUN hanya menduduki tangga kelima Liga Perdana 2022, Kelantan United sah melayakkan diri ke divisyen teratas bola sepak tanah air berikutan rombakan format pertandingan.

Kejayaan itu menyaksikan mereka buat pertama kali melangkahkan kaki ke Liga Super selepas penubuhannya pada 2016 di samping beberapa rombakan terhadap struktur pasukan.

Jadi, tidak hairanlah apabila pihak pengurusan bersungguh-sungguh melakukan perubahan terhadap skuad dengan bergiat aktif sepanjang jendela perpindahan.

Antara rombakan yang dibuat adalah dengan membawa masuk bekas pengendali Penang FC, Tomas Trucha bagi menggantikan ketua jurulatih, Syamsul Saad.

Kejayaan jurulatih kelahiran Republik Czech itu yang pernah membimbing skuad Harimau Kumbang ke tangga ketiga Liga Super 2021 merupakan salah satu tarikan terbesar.

Selain itu, ketegasan dan perancangan taktikal yang rapi pastinya menjadi sebab di sebalik pelantikan itu, lebih-lebih lagi ia dianggap cabaran baharu buat mereka.

326033260_928180334835691_1489139249553857258_n

Kelantan United bermula dengan langkah positif dalam aksi pra-musim. Facebook/Kelantan United FC

Namun, setelah hampir sebulan dilantik, Trucha seakan-akan mudah menjawab persoalan yang dilontarkan terhadapnya selepas beberapa aksi bertenaga dalam perlawanan persahabatan.

Ini termasuk kejayaan untuk mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Naib Juara Liga Super 2022, Terengganu FC serta kemenangan selesa 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC.

Kecemerlangan mereka itu pasti memberi aura positif buat skuad Kijang Hijau yang mula berpandangan jauh untuk bersaing di samping pasukan-pasukan lebih berkualiti.

Tetapi, bagi Trucha, objektif utama yang ditetapkan pihak pengurusan Kelantan United terhadapnya adalah untuk memastikan mereka tidak berada di zon penyingkiran musim 2023.

"(Misi kelab) adalah untuk kekal di dalam liga dan untuk berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan. Tetapi, sasaran utama buat kami sebagai sebuah pasukan kerdil adalah bagi memberi kejutan kepada mereka yang lebih hebat," katanya kepada Majoriti.

Di samping Kelantan United, empat lagi kelab juga berjaya menempatkan diri dalam Liga Super 2023, iaitu Kuching City FC, PDRM FC dan Perak FC.

326070337_929536328181753_8279504767603648121_n

Indra Putra menjadi antara rekrut baharu skuad Kijang Hijau. Facebook/Kelantan United FC

Hal berkenaan pastinya membawa kelainan terhadap arena bola sepak tempatan dengan pertambahan pasukan kepada 14 daripada 12 aksi pada 2023.

Dalam masa sama, ketua jurulatih berusia 51 tahun itu turut mengulas mengenai kemampuan dan keserasian skuad selepas melakukan perubahan besar-besaran.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar dengan pemain berlatih cukup baik dan menerima kesemua informasi serta arahan dikeluarkan.

"Ketika menentang Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC, kita mencatatkan satu perkara positif dan memberikan kami motivasi untuk musim akan datang," katanya.

Kelantan United bakal memulakan kempen Liga Super dengan pertembungan bersama Selangor FC pada 26 Februari sebelum berkunjung ke Stadium Likas, Sabah untuk bertemu skuad Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram