LIGA Super musim ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran wajah-wajah baharu serta pertambahan pasukan daripada 12 ke 14 yang bertanding.
Perkara itu semestinya menarik perhatian penyokong bola sepak tanah air yang sepertinya sudah terlalu lama tidak mengikuti perkembangan secara dekat.
Antara kelab yang dikatakan bakal memberi saingan terbaik ialah Perak FC yang diberi nafas baharu dengan pelaburan secara besar-besaran oleh XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd.
Bagi menjayakan lagi usaha mereka, jurulatih sensasi, Datuk Lim Teong Kim dibawa masuk untuk mengemudi pasukan itu bagi bersaing dengan lebih baik.
Tidak cukup dengan itu, aktiviti mereka sepanjang jendela perpindahan juga tidak boleh dipandang remeh apabila kerap menandatangani pemain menurut taktikal barisan kejurulatihan.
Malah, untuk mengenal pasti kemampuan skuad sedia ada, pihak pengurusan memilih untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.
Namun, sejak awal Disember lalu, aksi anak-anak buah Teong Kim dilihat masih terumbang-ambing dengan keputusan perlawanan masih tidak berpihak kepada mereka.
Kehadiran Teong Kim memberi satu keterujaan baharu. — Facebook/Perak FC
Jadi, dalam menguji kemampuan secara optimum, Perak FC memilih untuk menyertai Piala Menteri Wilayah Perseketuan yang dianjurkan secara tahunan.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu itu dijangka menarik ribuan penyokong apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) bakal berdepan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC.
Aksi itu semestinya ditunggu-tunggu oleh peminat tegar kedua-dua pasukan yang berhasrat untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan yang berada di tahap berbeza itu.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard, dia juga melihat Perak FC merupakan sebuah kelab yang cukup berminat untuk menyertai kejohanan tidak rasmi itu.
Stanley cukup teruja dengan kehadiran semula Perak FC ke Liga Super. — Facebook/KL City FC
"Pasukan kami memiliki pemain seperti Kenny Pallraj, J Partiban, Azri Ghani dan pemain pinjaman yang juga kapten mereka tahun lepas, Firdaus Saiyadi.
"Saya berasakan adanya sedikit sinergi antara kedua-dua kelab. Apabila kita membuka edisi ketiga Piala Menteri Wilayah Persekutuan, merekalah yang pertama menunjukkan minat," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, kecemerlangan yang ditonjolkan pihak pengurusan menaikkan lagi semangat untuk mengadakan aksi persahabatan bersama anak-anak buah Teong Kim.
Pada edisi tahun lalu, skuad Warga Kota mengalami kekalahan kepada sebuah lagi kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC dengan keputusan akhir 0-2.
KL City FC juga dilihat tidak henti-henti melakukan rombakan terhadap skuad dengan membawa masuk beberapa nama besar, seperti dua penyerang import berbisa, Tchetche Kipre dan Herlison Caion.
Mereka juga pastinya berhasrat untuk meneruskan rentak terbaik dalam liga apabila pasukan Lembah Klang itu menduduki tangga keenam musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,