BAGI menguji kemampuan dan keserasian antara pemain Sabah FC, beberapa perlawanan persahabatan sudah dijadualkan sepanjang jendela perpindahan.
Pendekatan itu diambil tatkala skuad Sang Badak berjaya melayakkan diri ke pentas Asia buat pertama kali sejak 1995 di samping membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik musim depan.
Namun, sejak awal Januari lalu, mereka hanya memilih untuk melakukan aksi pra-musim dengan pemain-pemain dipecahkan kepada dua bahagian.
Perlawanan itu bagaimanapun tidak disiarkan kepada penyokong Sabah FC yang pastinya tidak sabar untuk melihat kemampuan dan perbezaan yang dibawa kepada pasukan.
Pasukan Borneo itu sekali lagi memilih untuk tidak menyiarkan aksi persahabatan ketika bertemu kelab Denmark, Odense Boldklub FC di Stadium BG, Thailand pada Jumaat.
Difahamkan, perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Eropah itu menerusi jaringan pertahanan sayap, Gustav Grobbe.
Keputusan itu pastinya sedikit sebanyak memberi kesan terhadap moral pemain walaupun ia hanya merupakan aksi persahabatan sebelum cabaran sebenar menanti.
Tetapi, melihat kepada ruangan komen, masih terdapat beberapa penyokong yang masih berpeluang untuk menyaksikan aksi itu menerusi perisian tersendiri.
Berdasarkan perkongsian mereka, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian, sekali gus mengajak orang ramai untuk terus memberi sokongan padu kepada Sabah FC.
1. Moral pemain sangat tinggi
Meskipun gagal membawa pulang kenangan manis, pemain dilihat tidak terkesan dan masih cukup bersemangat untuk memulakan kempen Liga Super dengan baik.
Perkara itu dikongsikan seorang penyokong bola sepak tempatan, Alex Leekato yang percaya keputusan berkenaan hanya akan membakar keazaman mereka.
"Dalam mencari rentak dan gaya permainan, memang kadang-kadang menjadi dan kadang-kadang tidak. Hanya kekalahan boleh membantu memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Kekurangan skuad Sang Badak pasti diberi penekanan oleh Kim Swee. — Facebook/Sabah FC
Peluang itu pastinya diambil ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan mereka bangkit musim depan.
Tidak cukup dengan itu, tempoh yang masih berbaki sebelum aksi pertama Liga Super berdepan PDRM FC pada 25 Februari di Stadium Likas, Sabah.
Selain itu, penyokong turut berasakan aksi persahabatan itu tidak boleh dijadikan penanda aras untuk melihat kemampuan pasukan secara keseluruhan.
2. Barisan penyerang semakin berkualiti
Dalam aksi tersebut, seorang penyokong, Ahmad Doniel Shoo berkata, jentera serangan Sabah FC dilihat tidak bernasib baik untuk menjaringkan sebarang gol.
"Mantap cara permainan Sabah, banyak mengawal permainan dan melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan, tetapi penjaga gol kerap menggagalkan usaha mereka," katanya.
Darren Lok merupakan salah satu rekrut jendela perpindahan Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Sepanjang jendela perpindahan, posisi berkenaan merupakan salah satu perkara yang diberi penekanan dengan beberapa wajah baharu dibawa masuk.
Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok dan bekas pemain Kelantan United, Jacob Njoku diperkenalkan sebagai rekrut jendela perpindahan.
Hal tersebut pastinya membawa perbezaan besar buat skuad Sang Badak yang cukup memerlukan penambahbaikan untuk memacu mereka ke tahap lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,