SELEPAS hanya berdiam diri ketika pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia, Kelantan FC dilihat tidak henti-henti memperkenalkan penambahan baharu ke dalam skuad mereka.
Ketibaan pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit disusuli pengumuman mengejut pemilik kelab, Norizam Tukiman mengenai kehadiran pemain tengah berdarah kacukan Jerman-Filipina, Andreas Esswein.
Tidak cukup dengan itu, usaha mereka untuk bersaing dengan lebih baik dalam divisyen teratas bola sepak tempatan diteruskan dengan pelantikan ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan, Choi Moon-sik.
Moon-sik dibawa masuk dengan reputasi cemerlang sebagai ketua jurulatih. — Facebook/TRW Kelantan FC
Kemampuannya untuk menyuntik ideologi berbeza terhadap skuad The Red Warrior (TRW) masih belum boleh dipandang tinggi apabila mereka mencatatkan dua kekalahan dalam tiga aksi pra-musim.
Melihat kepada persembahan dalam kesemua perlawanan itu, tidak hairanlah apabila pihak pengurusan terus melakukan pelaburan terhadap pasukan dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.
Antara pemain yang diperkenalkan ialah bekas perancang pasukan, Mario Arques yang diumumkan sebagai rekrut terkini menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadi Norizam.
Hal itu pastinya menggembirakan penyokong TRW yang pernah jatuh cinta dengan pemain kelahiran Sepanyol tersebut selepas menjadi tonggak skuad selama separuh musim.
Bagaimanapun, melihat kepada beberapa faktor, terdapat persoalan yang boleh ditimbulkan mengenai kemampuan Mario untuk membawa Kelantan FC ke tahap lebih tinggi.
1. Statistik kurang meyakinkan
Musim lepas, pemain berusia 31 tahun itu berkhidmat bersama kelab Vietnam, SLNA FC yang mana dia berjaya membantu pasukan menduduki tangga kelima liga.
Namun, sekiranya diperhatikan sumbangannya sepanjang menyarung jersi pasukan itu, laporan menyebut dia hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan Liga 1 Vietnam.
Walaupun kerap diturunkan sebagai pemain tengah bertahan, ia masih tidak boleh dijadikan alasan ke atas ketumpulannya dalam menyumbang jaringan buat pasukan.
Mampukah Mario melakukan sumbangan buat jentera serangan Kelantan FC? — Agensi
Selain itu, ketika berkhidmat bersama Kelantan FC, pemain tinggi lampai itu hanya mencatatkan dua gol dalam 19 penampilan ketika bersaing di Liga Perdana.
Jadi, pastinya mereka mengharapkan kehadirannya mampu membawa perubahan, namun rekodnya bersama pasukan lama tidak menjanjikan perkara itu untuk musim akan datang.
Tetapi, dengan barisan kejurulatihan ketika ini, Mario berpeluang untuk membuktikan nilainya kepada kelab Pantai Timur itu.
2. Kerap mengumpul kad kuning
Seperti dibincangkan di atas, Mario dilihat kerap diturunkan sebagai pemain tengah dengan kelebihan fizikalnya menyukarkan pihak lawan melancarkan serangan.
Tanggungjawab berat itu sebelum ini dipikul beberapa tunjang skuad, termasuk Ikhwan Yazek dan Syaqimi Rozi yang cukup terkenal dengan gaya permainan lasak.
Jadi, kehadiran Mario pasti akan membawa perubahan ketara terhadap kemampuan benteng pertahanan pasukan, apatah lagi dengan kedua-dua pemain tempatan itu kurang menyengat.
Mario dilihat kerap dilayangkan kad kuning sepanjang kariernya. — Agensi
Bagaimanapun, berdasarkan statistik yang dikeluarkan, graduan Villareal FC itu kerap melakukan bentesan lewat sehingga menyebabkan dia kerap diberi amaran oleh pengadil.
Sebagai contoh, ketika bersama kelab India, Kerala Blasters pada 2019, dia menerima dua layangan kad kuning dalam 18 penampilan liga sahaja.
Hal tersebut dilihat sebagai satu risiko terhadap Kelantan FC yang pasti mengharapkan pemainnya tidak terlalu mudah dikenakan amaran awal sehingga merencatkan perancangan barisan kejurulatihan.
3. Kehadiran import Korea
Ketika aksi persahabatan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC menurunkan dua pemain kelahiran Korea Selatan sebagai satu medan percubaan buat mereka.
Dalam pertembungan tersebut, mereka beraksi dengan cemerlang sehingga penyokong mendesak khidmat mereka dikekalkan bagi meningkatkan lagi kualiti skuad.
Kehadiran kedua-dua pemain itu menyaksikan naib juara Liga Perdana 2022 tersebut dibarisi hampir sembilan pemain import, sekali gus melengkapkan kuota yang ditetapkan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Jadi, sekiranya Mario dibawa masuk, ia akan menutup pintu buat pihak pengurusan untuk terus membawa masuk pemain luar yang memiliki kemampuan berbeza.
Bagaimanapun, perkara itu pastinya sudah disedari dalam usaha mereka membolehkan kesemua yang berada dalam skuad ketika ini boleh didaftarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram