Bukan hanya aksi JDT-Levksi Sofia, Kedah dan TFC juga pernah terpalit insiden pergaduhan pramusim


  • Podium
  • Isnin, 30 Jan 2023

Antara aksi pemain JDT ketika menentang Levski Sofia sebelum aksi tegang berlaku pada minit ke-54. — Facebook/JDT

SIRI perlawanan pramusim sepatutnya menjadi medan untuk setiap pasukan membuat persediaan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya pada 24 Februari nanti.

Namun lain pula jadinya apabila sesi berkenaan bertukar menjadi tegang dan lebih parah lagi aksi perlawanan bola sepak bertukar menjadi gelanggang tinju.

Seperti yang berlaku pada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sewaktu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan dari Liga Bulgaria, Levski Sofia, aksi berkenaan dicemari dengan insiden pergaduhan.

Selepas skuad Harimau Selatan mendahului kedudukan dengan jaringan 1-0 dari tonggak baharu, Juan Muniz, pasukan berpangkalan di Eropah itu seperti tidak menerima kenyataan dengan keputusan itu.

GADUH JDT SOFIA

Tangkap layar insiden pergaduhan antara JDT dan Levski Sofia.

Antara insiden yang sempat dirakam ialah pemain tengah JDT, Leandro Velazquez diludah dan disepak oleh pemain berjersi nombor 30 pasukan Levski Sofia.

Selain itu, tidak kurang juga aksi dari Fernando Forestieri yang dilihat menumbuk pemain Levski sehingga tersungkur di atas padang.

Tindakan itu mengundang kemarahan pasukan Levski sehingga mereka memutuskan untuk bertindak keluar padang dan memboikot perlawanan.

Meskipun perlawanan pramusim sahaja, namun pemain tidak menganggapnya sebagai aksi biasa sehingga mereka sanggup membahayakan diri sendiri.

Bukan hanya aksi skuad Harimau Selatan menentang Levski Sofia, terdapat lagi dua perlawanan yang melibatkan pergaduhan besar-besaran yang pernah berlaku dalam aksi pramusim melibatkan pasukan Liga Malaysia (Liga M).

1) TFC II menentang Penang FC (2022)

gaduh TFC Penang

Keadaan pemain Penang FC, Muhammad Adib selepas perlawanan persahabatan itu. — Bernama

Aksi merebut Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC (TFC) II menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Februari 2022, boleh dikatakan antara insiden terburuk yang pernah berlaku dalam perlawanan pramusim.

Pada aksi itu, pergaduhan tercetus selepas pemain TFC II meraikan kejayaan penjaga gol Mohd Shafawi Mohamad yang menafikan sepakan penalti bekas kapten Penang FC Endrik Dos Santos sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain skuad Harimau Kumbang.

Sebelum tendangan penalti diambil oleh Endrick Dos Santos, TFC II sedang mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Kekecohan berlaku apabila terjadi aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan dan berlaku terjahan keras antara kedua pasukan sehingga memaksa anggota keselamatan masuk ke dalam padang bagi meleraikan keadaan.

Kesan daripada insiden pergaduhan itu pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan di bahagian hidung sehingga berdarah selepas ditendang dan ditumbuk tonggak TFC II, Mohammad Ridzuan.

Tidak hanya berdiam diri, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 manakala Penang FC pula RM5,000.

2) Kedah menentang Felcra FC (2017)

kedah felcra

Tangkap layar pergaduhan membabitkan Farhan dan Azi Shahril.

Pasukan yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman (KDA) FC juga pernah terpalit dengan insiden pergaduhan sewaktu sesi pramusim pada 2017.

Ketika itu, sebelum Kedah mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan kemenangan 2-0 ke atas Felcra FC, aksi berkenaan dicemari insiden kad merah susulan pergaduhan yang tercetus.

Pergaduhan tersebut membabitkan bekas pemain tengah Kedah, Farhan Roslan dan pemain berpengalaman yang mewakili Felcra ketika itu ialah Azi Shahril Azmi.

Menerusi rakaman video sewaktu perlawanan berkenaan, Azi Shahril dilihat cuba untuk menumbuk pemain Sabah FC itu kerana mendakwa Farhan terlebih dahulu mencetuskan provokasi.

Impak daripada pergaduhan berkenaan, kedua-dua pemain terbabit kemudian dilayangkan kad merah oleh pengadil dan Farhan pula mengalami kecederaan di bahagian muka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram