'Bring back the noise', Teong Kim bergelar Datuk umpama sinar baharu The Bos Gaurus


  • Podium
  • Rabu, 01 Feb 2023

Teong Kim (kiri) menerima anugerah terbabit berdasarkan kepada jasanya yang memerah keringat terhadap pembangunan bola sepak tanah air. —RTM

LIGA belum bermula tapi penyokong Perak FC sudah tumpang gembira apabila pengendali kelab itu, Lim Teong Kim sudah mendapat pengiktirafan menerima anugerah Panglima Jasa Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Pengurniaan darjah kebesaran itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dan sekali gus memberi gelaran Datuk kepada Teong Kim.

Anugerah tersebut dikurniakan kerana jasa jurulatih berusia 59 tahun itu terhadap dalam bola sepak tanah air terutamanya dalam pembangunan di akar umbi.

Jasanya dalam melahirkan pemain muda untuk bola sepak negara dapat dilihat sewaktu beliau menandatangani kontrak lima tahun dengan Kementerian Belia dan Sukan sebagai Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2013.

Kemudian pada 2016, beliau diberikan kepecayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

WhatsApp Image 2023-02-01 at 13.40.36

Teong Kim dilantik menjadi pengendali baharu Perak FC pada September lalu. — Facebook/PerakFC

Berita tersebut turut menggembirakan penyokong The Bos Gaurus dan mereka mempercayai bahawa Teong Kim merupakan individu yang tepat untuk mengembalikan kegemilangan Perak FC.

Sebelum berkhidmat di tanah air, Teong Kim sempat berkelana di luar negara dengan menjadi penolong jurulatih Bayern Munich bawah 19 (U19) dan antara bintang dunia bekas anak muridnya ialah Toni Kroos.

"Tahniah Datuk, bring back the noise," komen penyokong TBG, Ejen OneXox.

"Lain macam aura Datuk turun latihan nanti ini," kata seorang lagi penyokong Perak FC, Harith Haikal.

"Tahniah Datuk Lim Teong Kim. Harap Datuk boleh membawa perubahan kepada pasukan Perak walaupun bukan secara mendadak," kata penyokong TBG, Abdul Rahman.

Selain Teong Kim, beberapa ahli sukan turut menerima darjah kebesaran iaitu bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli; atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P Arivalagan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram