TONGGAK pertahanan VfB Stuttgart, Konstantinos Mavropanos membuatkan rakan sepasukannya terkesima apabila dia menjaringkan gol sendiri sejauh 48 meter akibat melakukan hantaran ke belakang.
Kejadian tersebut berlaku dalam perlawanan Piala Jerman menentang pasukan divisyen dua, Paderborn pada Rabu.
Pemain yang dipinjamkan dari Arsenal itu pada mulanya mengawal bola dari tepi garisan sebelum membuat hantaran belakang yang gagal ditampan kemas penjaga golnya sendiri, Florian Mueller selepas lontaran ke dalam pada minit keempat.
Persekutuan Bola Sepak Jerman membuat hantaran di laman Twitter bahawa ia adalah jarak paling jauh untuk gol sendiri dalam sejarah pertandingan Bundesliga.
Cuma mungkin dapat melegakan perasaan bersalah pemain antarabangsa Greece itu, Stuttgart akhirnya bangkit dengan gol lewat daripada Gil Dias dan Serhou Guirassy untuk menang 2-1 lalu mara ke suku akhir.
"Ia adalah permulaan yang tidak dapat dilupakan dengan gol sendiri. Kejutan sebenar. Konstantinos akan memberitahu cucunya mengenainya (gol sendiri itu)," kata Pengarah Sukan Stuttgart, Fabian Wohlgemuth kepada Sky TV. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram