Faisal harap keserasian rakan sepasukan cipta kemenangan berdepan anak didik Nafuzi


  • Podium
  • Khamis, 02 Feb 2023

Faisal Halim menjadi sandaran skuad Gergasi Merah untuk musim akan datang. — Facebook/Selangor FC

TONGGAK baharu Selangor FC, Faisal Halim tidak ambil mudah aksi persahabatan kompetitif pertama berdepan sebuah lagi kelab Liga Super Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Aksi persahabatan yang diadakan bersempena Piala Harapan 2023 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang itu bakal menemukan dua pasukan gergasi Liga Malaysia

Lebih-lebih lagi, skuad Sang Kenari ketika ini dikendali bekas jurulatih Faisal ketika di Terengganu FC, Nafuzi Zain sekali gus akan menghadirkan satu pertembungan yang cukup menarik.

“Pada saya sudah tentu ini perlawanan persahabatan pertama untuk Selangor yang mana saya bukan sahaja berharap untuk kemenangan tetapi paling penting adalah untuk kita cari keserasian pemain. Kita juga dah tahu apa yang jurulatih inginkan daripada kita dan sudah pasti kami semua akan memberikan saingan terbaik.

“Yang penting saya juga perlu kenal pasti apa yang rakan sepasukan inginkan daripada saya dan Alhamdulillah setakat ini tiada masalah," katanya dalam satu sesi temu ramah pada Khamis.

Tambah Faisal, sifat dan pembawaan berbeza antara Nafuzi dan ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe memberikannya peluang untuk belajar di samping pengalaman berlainan kedua-dua individu itu.

“Saya juga tidak mahu membandingkan jurulatih Nafuzi dan Cheng Hoe kerana masing-masing ada karakter berbeza.

“Sepert Nafuzi, beliau lebih muda dan Cheng Hoe pula banyak pengalaman di mana beliau juga telah menerima banyak tekanan dalam apa jua situasi dan tahu apa perlu dilakukan, jadi saya akan belajar mengikuti arahannya,” jelasnya.

Piala Harapan telah bermula pada Rabu di mana kejohanan ini turut sama membabitkan Penang FC dan Geylang International FC (Singapura). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram