PEMBINAAN Kompleks Sukan Shah Alam yang baharu nampaknya masih hangat diperdebatkan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, malah ia juga mendapat perhatian daripada pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail memberitahu perasaan cemburu langsung tidak terdetik sewaktu beliau mengulas kos pembinaan kompleks berkenaan yang menelan bajet sebanyak RM787 juta.
Sebaliknya, TMJ hanya menginginkan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam itu akan menjadi kenyataan dan tidak menghampakan rakyat yang menantikannya terutamanya warga Selangor.
"Dengan nama ALLAH SWT saya tak cemburu, saya hanya musykil dan juga tidak suka rakyat diperbodohkan. Walaubagaimanapun, saya berharap semoga Stadium Shah Alam yang baharu menjadi satu kenyataan dimana rakyat Selangor boleh berbangga.
"Kami Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim pun tak sabar untuk beraksi di stadium tersebut dan juga berharap lebih banyak stadium yang secanggih seperti ini boleh dibangunkan kerana ia akan menjadi satu kebanggaan untuk negara dalam industri bola sepak negara," katanya menerusi hantaran di Insta Story.
Kos pembinaan Singapore Sport Hub menelan belanja RM4.2 billion pada 2014.
Dalam hantaran berlainan, putera diraja Johor itu turut membandingkan kos pembinaan Stadium Shah Alam dengan Singapore Sport Hub yang memiliki keluasan 35 hektar dan kos pembinaannya menelan belanja RM4.2 billion pada 2014.
Malah, TMJ juga menyatakan kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung bagi Singapore Sport Hub adalah sebanyak RM219 juta untuk setahun.
"Kos untuk kerajaan Singapura menamatkan perkongsian awam swasta (PPP) dan pengambilalihan dianggarkan SGD2.3 billion (RM7.4 billion) pada 22 Ogos.
“Kalau Singapore Sports Hub pun pembinaan dan penjagaan setinggi itu, bagaimana pula dengan stadium yang mempunyai teknologi yang lebih canggih boleh lebih murah?
“Ini adalah kos Singapore Sports Hub yang berkeluasan 35 hektar, bayangkan kos untuk projek berkeluasan 75 hektar. Kalau SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) terkial-kial nak maintain, apatah lagi kerajaan negeri," kongsinya.
Seperti yang dilaporkan oleh Majoriti sebelum ini, pendapat TMJ mengenai kos penyelenggaran itu juga seiring apa yang disampaikan penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli.
Sebelum ini, Pekan mengingatkan pihak MBI supaya memikirkan aspek kos penyelenggaraan kompleks berkenaan.
Tambahnya, banyak stadium dibiarkan buruk dan terbiar akibat tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan dan ia dilihat menjadi pelaburan yang tidak berbaloi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram