Presiden FAM dipilih Ahli Majlis FIFA


  • Podium
  • Rabu, 01 Feb 2023

Hamidin menerima sebanyak 30 undian. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027, pada Kongres AFC ke-33, di Pusat Konvensyen Gulf di Manama, Bahrain pada Rabu.

Hamidin, yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, menerima 30 undian.

Beliau merupakan antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia.

Sementara itu, calon lain yang terpilih adalah Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani dari Qatar yang menerima 40 undi, Kohzo Tashima dari Jepun (39), Mariano Areneta Jr. dari Filipina (34) dan wakil Arab Saudi Yasser H. Almisehal (35).

HAMIDIN 2

Hamidin antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia. — Facebook/FAM

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis FIFA dari 2015 hingga 2019 manakala Tan Sri Hamzah Abu Samah menyandang jawatan naib presiden FIFA selama lapan tahun iaitu daripada 1982 hingga 1990.

Dalam pada itu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.

Presiden FIFA Gianni Infantino, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada Shaikh Salman dan badan induk bola sepak Asia itu atas usaha pembangunan yang dijalankan.

Beliau turut memuji Qatar atas kejayaan menganjurkan Piala Dunia 2022, yang menyaksikan enam negara Asia bertanding dan untuk pertama kali, tiga pasukan Asia - Australia, Jepun dan Korea Selatan - mara ke pusingan 16 terbaik.

Kongres itu juga dijangka memutuskan negara tuan rumah Piala Asia 2027, dengan Arab Saudi menjadi satu-satunya pembida yang tinggal selepas penarikan diri India dan Qatar, yang mengambil hak penganjuran bagi edisi 2023 menggantikan China.

Dalam pada itu, Hamidin tidak menganggap kejayaannya terpilih sebagai Ahli Majlis FIFA, sebagai pencapaian peribadi.

Malah, beliau berkata, ia adalah kemenangan buat FAM dan Malaysia demi pembangunan sukan bola sepak, futsal, bola sepak wanita dan bola sepak pantai tempatan dan dunia.

"Ada banyak perkara yang perlu dibawa, menjadi kelebihan kepada Malaysia apabila saya berada di sana. Banyak perkara yang boleh dibuat untuk masa depan bola sepak di Malaysia dan Asia.

"Sudah tentu ini satu tanggungjawab besar yang saya bawa untuk memastikan bola sepak Malaysia, ASEAN, Asia dan dunia akan bertambah lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Sementara itu, Hamidin yang bersyukur dengan kemenangan itu, berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan kuat kepada beliau.

"Semasa kunjungan saya kepada Perdana Menteri, beliau menyatakan sokongan kuat kepada saya untuk menang, kerana duduki kerusi ini bagus kepada negara, letak Malaysia dalam peta bola sepak dunia.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyokong saya dari awal, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta semua peminat bola sepak negara,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram