PIALA Harapan 2023 yang dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Penang (PFC) bakal menemui penyokongnya bermula pada Rabu dengan menyaksikan penyertaan dari empat pasukan termasuk skuad Harimau Kumbang.
Tiga pasukan lain yang menyertai perlawanan pramusim empat penjuru itu ialah, Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kelab dari Singapura, Geylang International FC.
Perlawanan persahabatan itu juga sedikit sebanyak akan membantu setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Super musim ini untuk mencari keserasian antara pemain mereka.
Namun, tiket perlawanan kejohanan berkenaan sedikit sebanyak melunturkan keterujaan penyokong yang tidak sabar untuk menonton aksi Piala Harapan 2023.
Piala Harapan 2023 akan bermula pada 1 Februari 2023. — Facebook/PenangFC
Penyokong Penang FC menyifatkan tiket berkenaan tak ubah seperti kupon kantin sekolah dan ia sama sekali tidak menggambarkan sebuah kelab bola sepak profesional.
Ramai yang mengecam dengan sikap sambil lewa pihak pengurusan itu namun tidak dinafikan sebahagian daripada penyokong memahami tindakan kelab Penang FC.
Mereka berpendapat, penggunaan tiket seperti itu adalah sebagai langkah untuk mengurangkan kos yang mana pastinya banyak lagi perkara penting boleh dilakukan dengan bajet pihak pengurusan seperti penambahbaikan fasiliti stadium.
"Mereka kata tidak perlu membazir buat cantik-cantik macam pasukan lain. Cukuplah janji ada juga tiket. Tapi ingat cetak rompak mudah buat kerja. Siapa rugi, anda juga yang koyak nanti. Haria Penang Haria," kata penyokong Harimau Kumbang, Harith Hashim.
"Tiket tidak lawa tidak apa. Janji ke Asia," komen seorang lagi penyokong Penang FC, Zafar Ahmad Risau.
"Tidak payah lah nak riuh sangat. Sekurang-kurangnya ada lah juga pembaharuan selepas satu abad yang lalu. Banggalah sikit," tulis penyokong, Pak Kob Tiki Taka.
Untuk rekod, tiket berkenaan dijual dengan harga RM5.00 hingga RM15.00 dan semua perlawanan Piala Harapan akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan bermula pukul 9.00 malam.
Pemenang akan melangkah ke perlawanan akhir pada 4 Februari manakala pasukan yang tewas beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram