SEPANJANG sesi pra-musim 2023, pasukan-pasukan Liga Malaysia dilihat bijak menggunakan masa terluang dengan mengadakan aksi persahabatan di dalam dan luar negara.
Pendekatan tersebut bukan sahaja dapat membantu barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti kebolehan pemain baharu, namun ia juga dapat memastikan skuad berada dalam keadaan terbaik.
Dalam usaha mencapai kedua-dua objektif itu, pasukan tercorot Liga Super musim lalu, Penang FC mengambil keputusan untuk mengadakan sebuah pertandingan persahabatan.
Piala Harapan 2023 yang bakal diadakan bermula 2 Februari dengan format kalah mati itu mengumpulkan empat pasukan, termasuk sebuah kelab Singapura, Geylang International FC.
Kesemua pasukan yang menyertai kejohanan tersebut ialah penganjur, Penang FC dan dua kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC.
Meskipun ia hanya satu aksi persahabatan, sambutan hangat penyokong di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang mula dijangkakan, lebih-lebih lagi dengan ketiga-tiga pasukan tempatan itu melakukan rombakan besar-besaran.
Namun, di sebalik keterujaan itu, tinjauan di media sosial mendapati masih terdapat kekecewaan yang disuarakan terhadap Penang FC selaku penganjur pertandingan.
Tiket yang dijual pihak pengurusan Penang FC dilihat tidak mencerminkan status profesional kelab. — Facebook/Green Terrace Comrades UP'11
Hantaran seorang penyokong menerusi akaun Facebook Green Terrace Comrades UP'11 menunjukkan bahawa tiket yang dijual masih tidak menggambarkan pasukan Utara tanah air itu sebagai sebuah kelab profesional.
"Kurang bijak daripada pihak pengurusan yang tiada unit pemasaran. Kalau kurang cerdik atau tiada ilmu, anda boleh dekati penyokong Penang FC kerana kami sudi bantu anda dipandang tinggi oleh orang luar.
"Kau buat Piala Harapan, kau jemput pasukan yang hebat, dah pulak tiket seolah-olah kupon hari kantin. Kau memang masih berada di zaman 2000 ke?" tulisnya.
Berdasarkan gambar yang disertakan, tiket pada hari perlawanan dilihat tidak memiliki sebarang ciri-ciri keselamatan seperti kod QR yang dapat mengenal pasti pemegang.
Kecuaian itu pastinya mencetuskan kegusaran daripada penyokong yang kurang senang dengan kegagalan pihak pengurusan dalam memastikan pertandingan berkenaan berjalan lancar.
Selain itu, hantaran tersebut turut menyuarakan kekecewaan atas perancangan tidak rapi ketika sesi pelancaran jersi baharu skuad Harimau Kumbang untuk musim 2023.
"Lagi satu, geram betul dengan Penang FC yang buat perasmian jersi pada Rabu, anda betul betul tidak tahu mengenai teknik pemasaran ke?" katanya.
Piala Harapan 2023 merupakan penganjuran pertama dengan objektif membolehkan pasukan melakukan persiapan rapi di samping memberi semangat berbeza buat mereka sepanjang tempoh pra-musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram