Selepas isu tiket, Penang FC sekali lagi jadi bahan bualan


  • Podium
  • Khamis, 02 Feb 2023

Penang FC memulakan langkah kanan dalam aksi pembukaan Piala Harapan 2023. — Facebook/Penang FC

AKSI persahabatan antara Penang FC dan kelab Singapura, Geylang International FC dalam saingan Piala Harapan menyaksikan pasukan Utara tanah air itu merekodkan kemenangan bermakna dengan skor 4-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Rabu.

Meskipun ia hanya aksi pra-musim, kejayaan yang dicatatkan itu masih dirasakan cukup bermakna buat penyokong apabila skuad Harimau Kumbang mempamerkan persembahan bertenaga.

Selain itu, perlawanan tersebut membuktikan keserasian antara pemain semakin terserlah, lebih-lebih lagi antara wajah-wajah baharu yang dibawa masuk sejak awal Disember lalu.

Hal tersebut dapat disaksikan apabila beberapa rekrut jendela perpindahan berjaya menjaringkan gol peribadi pertama, termasuk Azmeer Aris Nor Rashid dan Rahmat Makasuf.

Keputusan tersebut pastinya mencetuskan kegembiraan dalam kalangan penyokong Penang FC yang pastinya sudah tidak sabar untuk melihat skuad Harimau Kumbang kembali bangkit.

Manakan tidak, prestasi terumbang-ambing serta isu di luar padang menyebabkan pasukan tersebut terperosok di dasar Liga Super musim lepas.

Jadi, dengan pelaburan dan kemenangan manis itu, tidak boleh dinafikan sekiranya semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk terus memberi sokongan buat kelab itu.

Bagaimanapun, di sebalik keceriaan yang dikongsikan di media sosial itu, masih terdapat beberapa perkara kurang senang dirasakan peminat tegar Harimau Kumbang.

Sekiranya mereka sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap kualiti tiket untuk aksi Piala Harapan, perasaan itu sekali lagi timbul apabila pihak pengurusan gagal menguruskan aksi persahabatan itu dengan baik.

Perkara itu dikongsikan seorang penyokong menerusi satu hantaran di laman Facebook Penang Brotherhood yang mengatakan proses untuk membeli tiket di stadium tidak berjalan dengan lancar.

328501117_506305584750482_8310781266693980808_n

Penyokong terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket bagi aksi Piala Harapan 2023. Facebook/Penang Brotherhood

Hantaran yang dibuat berserta foto orang ramai beratur dalam barisan panjang seolah-olah memberi gambaran bahawa pihak pengurusan masih mengambil sikap sambil lewa akan hal seperti itu.

Kekecewaan berkenaan turut dirasakan rata-rata penyokong yang membanjiri Stadium Batu Kawan untuk menyaksikan aksi daripada skuad Harimau Kumbang.

"Beratur semata-mata hendak membeli tiket, masuk-masuk stadium sahaja perlawanan sudah berlangsung selama 30 minit. Tidak boleh pakai punya pengurusan," kata Mohd Asri Rosli.

"Lain kali pesan dekat pengurusan stadium, buka kaunter penjualan tiket sepatutnya lebih banyak lain kali. Ramai yang nak tengok bola sepak," kata Zam Zidane.

"Macam beratur nak beli nasi kandar, memang tak guna punya pengurusan. Mereka sangka pasukan biasa-biasa sahaja ke nak buat lebih kurang sahaja," kata Haris Daniel.

Penang FC selepas ini dijangka berdepan cabaran sama ada daripada Selangor FC atau Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan akhir Piala Harapan 2023.

Dalam saingan Liga Super pula, pasukan tercorot itu bakal membuka tirai dengan pertembungan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 25 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram