‘Saya dengan Mahali Jasuli saja tak jadi’, Zaquan Adha tagih komitmen semua tonggak Jang Hobin


  • Podium
  • Selasa, 31 Jan 2023

Zaquan Adha mulai menyertai skuad Jang pada musim 2020. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) yang sudah menghadapi dua perlawanan persahabatan pramusim nampaknya masih belum mencatat sebarang kemenangan.

Perlawanan pertama menyaksikan skuad Jang tewas 1-2 di tangan Penang FC, aksi kedua menentang Kelantan United FC (KUFC) pula, NSFC kalah 0-yang berlangsung di Stadium UPM, Serdang pada Sabtu.

Aksi pramusim diadakan sebagai misi untuk mencari keserasian skuad sedia ada dan menguji taktikal sebelum skuad Jang menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada hujung Februari ini.

Ketua pasukan NSFC, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak berpendapat, aksi pramusim perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh rakan sepasukan lain untuk membina keserasian sebelum liga bermula.

Tambahnya, keserasian mungkin sukar diperoleh berikutan rata-ratanya adalah wajah baharu namun perkara tersebut dapat dicapai dari hari ke hari.

"Setiap musim lain karenahnya. Ada pemain masuk, ada player lama. Bagi saya keserasian antara pemain lokal perlu lebih serasi dengan import tiada lagi.

"Bukan tugas mudahlah untuk saya lead pasukan dengan kebanyakan pemain baru. Saya harap kami perbaikilah sebelum perlawanan pertama. Harap dengan pemain import boleh menyesuaikan diri nanti.

"Keserasian bukan sehari dua kita dapat. Kena banyak perlawanan. Saya harap dengan pemain yang ada, harap yang terbaik untuk pasukan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-01-31 at 19.27.29

Mahali merupakan pemain baharu NSFC pada musim ini. — Facebook/NSFC

Mengulas mengenai keserasian bersama pemain baharu NSFC, Mahali Jasuli, Zaquan Adha berkata, pengalaman lama bersama tonggak pertahanan itu membuatkan dia mudah untuk beraksi bersama.

"Saya dengan Mahali dah lama. Luar padang dia sebagai sahabat. Dalam padang ada keserasian, namun ia melibatkan 11 pemain.

"Kalau saya dengan dia saja tak jadi. Kena ada komitmen dari semua pemain," tambahnya.

Selepas ini, skuad di bawah bimbingan K.Devan akan bertemu Terengganu FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram