Menjelang sepak mula Liga Super, 3 'striker' diramal cabar Bergson rebut takhta penjaring terbanyak


  • Podium
  • Selasa, 31 Jan 2023

Bergson menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Super musim lalu.

SAINGAN Liga Super musim lepas menyaksikan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva menjadi penjaring terbanyak dengan 29 gol dalam 22 perlawanan.

Jumlah gol yang dijaringkan Bergson itu jauh meninggalkan pencabarnya, Herlison Caion yang menjaringkan 14 gol bersama Selangor FC.

Namun, Liga Super musim 2023 menyaksikan beberapa penyerang baharu bakal menjadi pencabar kepada Bergson untuk menjadi penjaring terbanyak.

Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain import baharu yang bakal menjadi pesaing kepada penyerang Harimau Selatan itu.

WhatsApp Image 2023-01-30 at 8.58.20 PM

Ayron Del Valle (Selangor FC)

Tahun ini Selangor FC memperkenalkan peledak berbisa dari Colombia, Ayron Del Valle yang berusia 34 tahun.

Untuk rekod, Valle sudah beraksi dalam liga Colombia selama 13 tahun dan terkenal kerana mempunyai penyudah yang cukup berbisa.

Malah, dia juga pernah memegang takhta Penjaring Terbanyak Liga Dimayor selama tiga musim berturut-turut.

Pencapaian itu termasuk pada musim 2014/2015 bersama Deportes Tolima sebanyak 30 gol, 2015/2016 bersama Alianza Petrol sebanyak 12 jaringan dan 2016/2017 bersama CD America de Cali dengan 11 gol.

Setakat ini, dia menjaringkan 157 gol sepanjang kariernya, 140 gol di Liga Colombia dan 7 jaringan di Liga Mexico, 11 gol dalam saingan Piala (9 di Colombia dan 2 di Mexico) serta mencatatkan 4 jaringan di Piala Libertadores.

Selain itu, Ayron pernah menjulang trofi dua kali di Liga Primera A pada 2017 dan Superliga musim 2018, selain turut meraih tempat kedua dalam saingan Primera A pada 2011 dan 2012, Copa Colombia pada 2012 dan Cuadrangular Bogota pada 2020.

WhatsApp Image 2023-01-30 at 8.59.40 PM

Adisak Kraison (Terengganu FC)

Pemain Thailand, Adisak Kraison yang kini bersama Terengganu FC juga dikenali sebagai pemain yang mempunyai sentuhan penyudah cukup berbisa.

Berketinggian 1.83 meter memberi kelebihan kepada pemain itu di depan pintu gol terutama jika berdepan pemain pertahanan tempatan.

Untuk rekod, Adisak pernah membawa Thailand menjuarai kejohanan Piala AFF pada 2014 dan 2020. Malah, dia juga pernah bergelar penjaring terbanyak bagi kejohanan tersebut pada 2018.

Disebabkan itu Adisak dianggap sebagai penyerang terbaik yang pernah dihasilkan Thailand dan kemampuannya itu mampu memberi saingan sengit terhadap Bergson.

1913687

Willian Lira (Kedah Darul Aman FC)

Penyerang kelahiran Brazil ini menjadi taruhan baharu Kedah selepas pemain import mereka, Ronald Ngah Wanja digugurkan dari pasukan.

Sepanjang tiga perlawanan pramusim, pemain berusia 29 tahun itu sudah berhasil memikat hati penyokong Sang Kenari dengan merekodkan empat jaringan buat KDA FC.

Sebelum ini, Lira pernah beraksi di kelab divisyen dua Liga Jepun iaitu Ventforet Kofu dan membantu kelab tersebut memenangi trofi Emperor’s Cup.

Justeru itu, dengan pengalaman yang dimiliki oleh Willian bersama liga Jepun berkenaan dipercayai mampu menjadi 'mesin pencetak gol' buat KDA FC

Menerusi dua aksi persahabatan baru-baru ini juga, pemain itu menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan. Perkara ini disifatkan sebagai satu pembelian yang berbaloi buat Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram