Guru terjun selamatkan lebih 20 murid jatuh akibat jeti roboh di Semporna


  • Primer
  • Isnin, 30 Jan 2023

Tangkap layar video kelihatan murid-murid ketakutan dan menangis apabila melihat beg mereka ditenggelami air.

BEBERAPA guru menyelamatkan kira-kira 20 murid sekolah rendah yang terjatuh ke dalam laut selepas jeti kayu runtuh di Pulau Pababag di pantai timur daerah Semporna, Sabah.

Video kejadian tular di media sosial, yang mana guru kelihatan menghulurkan bantuan kepada murid SK Pababag keluar dari air dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi Isnin.

Menurut Pengerusi Umno Semporna, Abdul Manan Indanan, murid-murid mengalami sedikit kejutan dengan kejadian itu tetapi tiada laporan mengenai sebarang kecederaan.

"Saya bercakap dengan ketua kampung Pababag yang memaklumkan kejadian itu berlaku ketika murid-murid terbabit mahu ke sekolah," kata Manan yang merupakan pegawai pembangunan masyarakat Sulabayan.

Beliau berkata, guru di situ segera membantu kanak-kanak keluar dari air yang ketika itu di paras lutut dan memasukkan mereka ke dalam bot.

Manan berkata, beliau menunjukkan video tular itu dalam mesyuarat Umno Sabah yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.

Beliau berkata Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, bersetuju menyediakan pembiayaan segera untuk membaiki jeti itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau sudah mengarahkan jenteranya memperbaiki segera jeti berkenaan menggunakan kewangannya sendiri bukan bajet kerajaan Sabah.

"Saya sudah mengarahkan pihak berwajib membaiki segera jeti berkenaan untuk membolehkan ia digunakan seperti biasa," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, beliau sentiasa menitikberatkan keselamatan penduduk di Semporna dan mengingatkan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dalam musim hujan.

"‘Penting bagi saya, ialah keselamatan rakyat dan supaya jeti tersebut dapat digunakan seperti biasa.

"Kepada rakyat Semporna khususnya, berhati hati dalam musim cuaca tidak menentu ini, semua kebajikan dan kesejahteraan warga Semporna, sentiasa menjadi keutamaan saya," jelasnya yang ke kawasan berkenaan minggu lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram