Ditahan akibat mengamuk tunggu lama di IPD Ampang, pekerja bank kantoi telefon ada video lucah


  • 112
  • Isnin, 30 Jan 2023

Pemeriksaan polis mendapati ada beberapa video lucah yang disimpan lelaki berkenaan.

POLIS menahan seorang lelaki kerana berkelakuan tidak sopan dan disyaki memiliki video lucah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika membuat laporan palsu di IPD Ampang Jaya dengan mendakwa dompetnya diragut seorang lelaki menaiki motosikal di parkir kereta Jalan Pandan Indah, Ampang pada pukul 4 petang Ahad.

Beliau berkata, semasa proses merakam keterangan, lelaki berkenaan yang merupakan pekerja bank, meninggikan suara dan membaling kerusi ke arah pejabat pegawai penyiasat kerana mendakwa menunggu lebih sejam untuk membuat laporan.

"Susulan kejadian, lelaki itu ditahan dan telefon bimbitnya dirampas. Pemeriksaan mendapati ada beberapa video lucah yang disimpan lelaki itu. Hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu membuat laporan palsu kerana hendak memohon bagi kad pengenalan baharu.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu ditahan reman tiga hari sehingga 1 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram