Jumpa kelab 'boleh makan', fans anggap kualiti 2 import TRW belum cukup menyengat


  • Podium
  • Selasa, 31 Jan 2023

Penyerang antarabangsa Gambia, Nuha Marong mencetak gol ketiga buat TRW pada perlawanan menentang UiTM FC. — Facebook

SEPANJANG dua perlawanan persahabatan pada aksi pramusim Liga Super 2023, Kelantan FC masih belum dapat memberikan persembahan terbaik.

Menerusi aksi sebelum, skuad The Red Warriors (TRW) tumpas di tangan Buriram United dengan keputusan 0-7 selain ditundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan skor 0-2.

Namun, persembahan menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam mengubat sedikit kekecewaan penyokong Kijang Merah.

Pada perlawanan itu, Kelantan FC berjaya memperoleh kemenangan 3-0 hasil jaringan Muhamad Ghaffar Abdul Rahman dan pemain kelahiran Korea Selatan, Kang Eui Chan pada babak pertama.

Beralih pada babak kedua, Kelantan FC terus selesa di depan apabila import terbaharu TRW, Nuha Marong mencetak gol ketiga buat TRW.

Kemenangan Kelantan FC sedikit sebanyak menggembirakan penyokong, namun di sebalik itu, pemain ke-12 TRW tetap mengharapkan agar pasukan dapat memperkemaskan corak permainan.

1911634

Eui-chan (kiri) dan Kim Ming-yu berpotensi ketika aksi persahabatan menentang KDA FC sebelum ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Bahkan, kualiti import TRW yang dibawa masuk ke kelab milik Norizam Tukiman itu belum benar-benar terbukti meskipun sudah menunjukkan potensi besar ketika aksi persahabatan sebelum ini.

Ini kerana kemenangan dicatat ketika menentang kelab amatur yang bersaing di divisyen ketiga Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bukan mahu melunturkan motivasi apatah lagi mematahkan semangat pemain, tetapi sebagai kelab yang bersaing di divisyen teratas liga domestik, Kelantan FC harus lebih realistik dengan cabaran mendatang.

Saingan di Liga Super musim ini akan menyaksikan pertembungan dengan kelab-kelab lebih kuat dan tentunya TRW tidak mahu menjadi pasukan belasahan.

Oleh itu, ketua jurulatih baharu, Choi Moon-sik perlu terus mencari formula dan membentuk keserasian antara anak-anak buahnya.

Tahap penguasaan bola antara yang perlu dititikberatkan selain memantapkan benteng pertahanan dan mempertajamkan serampang.

Sejak pertama kali bersaing di divisyen satu Liga M selepas kali terakhir beraksi pada 2018, Kelantan FC meletakkan sasaran untuk mengakhiri musim di kelompok lima teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram