Dua kisah murni bikin import terbaharu Sabah jadi kesayangan di Turkiye


  • Podium
  • Isnin, 30 Jan 2023

Pemain Sabah FC meraikan gol kemenangan dalam saingan Liga Super musim lalu.

SELEPAS memperkenalkan tiga pemain import baharu iaitu Telmo Castanheira, Gabriel Peres dan Njoku Jacob, Sabah FC nampak terus membawa lagi pemain import baharu untuk memperkuatkan pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Terbaharu pada Sabtu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memperkenalkan satu lagi pemain import baharu dari Brazil, Jailton Paraiba.

Berusia 32 tahun, Paraiba cukup berpengalaman di posisi sayap selain boleh bermain di bahagian serangan.

Selain itu, pemain ini juga pernah beraksi bersama beberapa pasukan di liga China dan Turkiye.

Namun, ada kisah menarik ketika Paraiba beraksi di Turkiye yang membuatkan dia menjadi perhatian bukan sahaja peminat boleh sepak negara itu, tetapi juga di negara kelahirannya.

Kedua-dua kisah itu menunjukkan sikap murni Paraiba yang akhirnya mengangkatnya menjadi sebagai pemain kesayangan di Turkiye.

resized_db5b0-49b6cc6ccsfsf

Hormat bendera Turkiye

Kisah pertama adalah ketika dia beraksi bersama kelab Genclerbirligi menentang Osmanlispor dalam liga Turkiye pada 2018.

Ketika lagu kebangsaan berkumandang, pemain lain berdiri tegak ke depan manakala Paraiba pula memilih untuk berdiri tegak ke arah sisi padang menghadap pintu gol.

Tindakan itu dibuat oleh Paraiba sebagai satu daripada tanda hormat terhadap bendera Turkiye yang berada di belakang pintu gol.

Apa yang dilakukan Paraiba bukan sahaja mendapat pujian penonton bola sepak negara itu, malah turut mendapat reaksi positif rakyat Brazil selepas kisahnya tular di media sosial.

WhatsApp Image 2023-01-29 at 9.14.25 PM (1)

Tukar jersi dengan Pepe

Kisah kedua juga berlaku ketika dia beraksi dengan kelab yang sama pada tahun sama. Pada waktu itu, kelabnya, Genclerbirligi mempunyai krisis dengan sebuah lagi kelab lain, Besiktas.

Krisis itu berlaku antara jurulatih kedua-dua pasukan ketika mereka bertemu di peringkat perlawanan kedua suku akhir Piala Turkiye.

Bukan sahaja jurulatih, staf teknikal kedua-dua pasukan juga ketika itu berada dalam keadaan tegang kerana mereka dilaporkan tidak mahu bersalaman sebelum perlawanan bermula.

Namun, berlainan pula bagi Paraiba yang mengambil kesempatan untuk menukar jersi dengan bintang utama Besiktas, Pepe.

Tindakan kedua-dua pemain itu menukar jersi antara satu sama lain mendapat pujian penonton yang menyifatkan bahawa perkara itu dapat mengurangkan ketegangan yang dihadapi kedua-dua pasukan selain menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram