SEBAGAI persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya mendedahkan empat kelab yang akan terlibat bagi siri perlawanan pramusim di Antalya, Turkiye pada Februari ini.
Empat pasukan yang bakal dihadapi KDA FC ialah kelab Liga Perdana Uzbekistan, FC Nasaf; FC Shakhter Karaganda serta FC Maqtaraal iaitu dari Liga Perdana Kazakhstan dan terakhir FC Metalist Sharkiv dari saingan Liga Perdana Ukraine.
FC Nasaf yang kini menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana Uzbekistan menjadi antara pasukan gergasi dalam perlawanan pramusim itu, manakala kedua pasukan dari Kazakhstan masing-masing berada di kedudukan ketujuh dan kelapan.
FC Metalist Sharkiv dari saingan Liga Perdana Ukraine pula kini berada di kedudukan ketujuh daripada 18 kelab yang bersaing.
Jadual KDA FC di bumi Turkiye itu akan bermula pada 6 sehingga 14 Februari 2023 dan skuad Sang Kenari akan memulakan perjalanan dari pada 5 Februari ini.
"Moga peluang ini dapat jadi peluang untuk cari kesebelasan utama KDA FC. Diharap apabila pulang ke Malaysia, setiap pemain ada minda seorang juara," kata pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dalam sidang media Jelajah Pra-musim yang diadakan di Dewan Inas Kedah Digital Library, Alor Setar pada Ahad.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali pula mendedahkan bahawa mereka sedang dalam proses membawa masuk dua lagi pemain import bagi melengkapkan kuota yang ditetapkan pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Atas kertas dah ada pemain. Kami akan umum dalam tempoh terdekat. Sebelum ke Turkiye akan diumum. Jika mereka tak ke Turkiye, mungkin akan mengikuti latihan B23," jelasnya.
Sehingga kini, KDA sudah pun mempunyai tujuh pemain import yang sudah didaftarkan iaitu Bojan Ciger, Alan Davidson, Amirbek Juraboev, Manny Ott, Manuel Hidalgo, Willian Lira, dan terbaharu Jonathan Balotelli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram