Pelantikan Izzah dibuat tanpa sebarang bayaran elaun — Anwar


  • Primer
  • Ahad, 29 Jan 2023

Nurul Izzah ditawarkan jawatan penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri.

PELANTIKAN Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri tidak akan diberikan sebarang gaji, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak menawarkannya sebarang elaun, sama ada daripada Pejabat Perdana Menteri mahupun daripada Kementerian Kewangan," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pusat perkhidmatan Parlimen Tambun di Meru Raya, Ipoh pada Ahad.

Jawapan tersebut dibuat sebagai jawapan kepada ciapan sinis Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ke atas pelantikan Nurul Izzah.

Kata Anwar, Faizal, yang juga dikenali sebagai Peja mempunyai hak untuk mempersoalkan pelantikan itu namun, terdapat juga beberapa persoalan yang hendak diajukan Anwar terhadap Faizal.

"Tetapi saya hendak beritahu yang penting sekali adalah hentikan curi tanah, pembalakan, dan saham projek komisyen yang menjahanamkan negara.

"Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Ya, semua bicara soal rasuah tapi bila kita sebut kes-kes sebegini dia kata (mempersoal) mengapa hendak bongkar kisah lama," katanya.

Mengulas mengenai isu kelulusan akademik Nurul Izzah, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan mana-mana pemimpin yang dilantik tidak perlu mempunyai latar belakang pendidikan bersesuaian dengan portfolio dipegang.

"Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi sebelum ini lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan. Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfolio) masing-masing... Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.

"Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Takda pernah berlaku macam itu," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram