Bukan saja-saja KUFC pilih KL City, PDRM FC dalam aksi persahabatan


  • Podium
  • Ahad, 29 Jan 2023

Kelantan United mencatatkan kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi persahabatan Sabtu lalu. — Facebook/Kelantan United FC

KELANTAN United FC (KUFC) akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua pasukan Lembah Klang pada Selasa dan Khamis ini sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super yang dijadual berlangsung bermula 24 Februari ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) KUFC, Wan Mohd Zul Ikman berkata perlawanan persahabatan menentang KL City FC pada Selasa ini akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur dan aksi menentang PDRM FC, Khamis ini di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

"Dua perlawanan pada Selasa dan Khamis diatur bagi memastikan persediaan pasukan pada tahap maksimum menjelang sepak mula saingan sebenar Liga bulan depan.

"KUFC memilih kedua-dua pasukan itu kerana memiliki pemain-pemain yang berkualiti selain corak permainan yang bagus," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul berkata, kedua-dua perlawanan itu juga akan menjadi platform kepada ketua jurulatih, Tomas Trucha memantapkan pasukan dari aspek permainan, kombinasi pemain serta menyesuaikan pemain dengan taktikal pasukan.

"Perlawanan ini membolehkan barisan kejurulatihan menyediakan pasukan dengan sebaik mungkin bagi menghadapi Liga Super musim ini.

Keputusan kedua-dua perlawanan itu tidak penting, apa yang lebih penting adalah menilai kesemua aspek terutamanya kemampuan pemain import KUFC untuk musim ini," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram