PERAK FC antara yang masih rancak melakukan perlawanan persahabatan bagi menguji keserasian antara pemain dan ia juga dapat dijadikan platform untuk mencari taktikal sesuai menjelang saingan Liga Super nanti.
Sebelum ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) sudah menguji kemampuan skuad sedia ada dengan mengadakan perlawanan bersama kelab Liga Perdana, UiTM FC dan pasukan amatur tempatan, ATM FC.
Dalam perlawanan menentang UiTM FC, Perak terpaksa akur kalah 1-2, manakala aksi menentang ATM FC pula berakhir dengan kemenangan berpihak kepada skuad Seladang.
Terbaharu, pengendali Perak FC, Lim Teong Kim (LTK) menguji lagi kekuatan anak-anak buahnya dengan mengadakan persahabatan pramusim menentang kelab Liga Super, Penang FC.
Kesebelasan utama Perak FC sewaktu menentang Penang FC pada Sabtu. — Facebook/PerakFC
Keputusan akhir aksi yang diadakan di Stadium Ipoh, Perak itu menyaksikan pasukan pelawat menang 1-0 menerusi jaringan Hadin Azman pada minit terakhir permainan.
Kekalahan tipis di tangan skuad Harimau Kumbang itu jelas tidak menjatuhkan semangat pemain, malah perlawanan berkenaan juga mendapat respons positif penyokong.
Pada aksi berkenaan menunjukkan skuad The Bos Gaurus sempat menguasai perlawanan namun gagal untuk mencetak sebarang jaringan dek penyudah yang tumpul dari barisan serangan.
Antara perkara yang mencuri tumpuan sepanjang perlawanan persahabatan itu ialah aksi mengagumkan dari pemain tengah, Muhammad Fadhil Idris dan penyokong yang menyifatkan corak percaturan Teong Kim seperti kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Fadli Idris dibawah masuk oleh Perak FC pada November 2022. — Facebook/PerakFC
"Fadhil Idris pembelian paling berbaloi di Perak FC," komen penyokong Perak FC, Lokman Razak.
"Padu mamat itu (Fadhil). Segenap inci padang dia main," tambah seorang lagi penyokong Perak FC, Ariess Rezz.
"Perak tiru cara Arteta Gunners ini. Ambil pemain muda belaka. Jadi dua tiga tahun ini tak perlu beri harapan tinggi. Cuma penyokong Perak ini kurang sabar, kira nak menang terus saja. YCL (Yusri Che Lah) pun dah buat terbaik walau Perak bermasalah dengan pemain yang terhad," kata penyokong, Ridzuan Fuad.
"Perak main bagus, macam Arsenal. Pertahanan kebal, penyudah dan kreativiti sahaja tinggal," komen dari penyokong Perak, Muhammad Haiqal.
Fadhil Idris menyarung semula jersi Perak FC pada musim ini selepas Melaka United diturunkan pangkat ke Liga M3.
Pemain berusia 26 tahun itu pernah beraksi bersama pasukan senior Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada 2016 hingga 2019 sebelum ke Felda United pada 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram