'Betul kata TMJ', kos bina semula Stadium Shah Alam boleh cecah bilion ringgit


  • Podium
  • Ahad, 29 Jan 2023

Gambaran Stadium Shah Alam yang bakal dilaksanakan kelak. — Facebook

PEMBINAAN Kompleks Sukan Shah Alam yang menelan kos sebanyak RM787 juta mendapat perhatian daripada pemilik pasukan gergasi Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi komen yang ditulis oleh Tunku Ismail dalam perkongsian video rancangan pembinaan kompleks berkenaan, baginda berpendapat anggaran yang diletakkan oleh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) adalah tidak logik.

Hal ini demikian kerana, kompleks berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi tinggi seperti menggunakan retractable pitch atau padang boleh laras seperti yang digunakan di Stadium Tottenham Hotspur di London, United Kingdom.

"Stadium Sultan Ibrahim 400 juta lebih sahaja. Stadium ini (Stadium Shah Alam) sekurang-kurangnya RM2 bilion kerana mempunyai teknologi yang tinggi. 700 juta lebih tidak logik,” tulis TMJ di laman Instagram.

SSI

Stadium Sultan Ibrahim mempunyai stadium dan fasiliti yang berkelas dunia.

Senada dengan pendapat TMJ itu, penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, akan berlaku peningkatan daripada anggaran kos sebanyak RM787 juta itu.

Hal ini demikian kerana, Pekan mengganggap anggaran yang dikeluarkan oleh pihak MBI itu pasti bukan kos sebenar berikutan pasti ada berlaku perubahan dalam proses pembinaan itu,

Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa Selangor berupaya untuk membina kompleks berkenaan berikutan ia seperti hadiah baharu selepas stadium sebelum ini dirobohkan.

"Saya rasa mampu kerana kalau tidak nanti malulah kepada rakyat Selangor.....cukup atau tak cukup bajet itu ia mesti kena jadi sebab banyak bangkangan rakyat untuk merobohkan Stadium lama Shah Alam itu.

"Kalau betul-betul nak buat satu kompleks yang dirancang, memang kos cecah bilion. Jika nak banding dengan perancangan beberapa kompleks yang besar.

"Dulu pun bila kita buat kompleks sukan negara, kos mencecah hampir 1 bilion. Betul kata TMJ kos itu pasti lebih daripada yang dinyatakan," katanya kepada Majoriti.

An aerial view of Shah Alam Stadium hit by flood last week. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Stadium Shah Alam pernah diangkat sebagai stadium terbesar di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Pekan juga mengingatkan bahawa pihak MBI juga perlu melihat ke depan iaitu untuk memikirkan kos penyelenggaraan kompleks berkenaan.

Tambahnya, banyak stadium dibiarkan buruk dan terbiar akibat tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan dan ia dilihat menjadi pelaburan yang tidak berbaloi.

"Masalah besar ialah perlu ada perancangan bagaimana untuk memastikan kualiti dan penyelenggaraan sentisa terjaga. Letaklah berapa kos, tapi bagaimana penjagaannya, itu penting untuk dilihat.

"Jika nilai kos sampai satu bilion tapi nanti jadi seperti gajah putih kerana tidak dapat tanggung kos penyelenggaraan, kompleks itu hanya akan buruk. Bukan satu pelaburan alah membeli, menang memakai," ujarnya.

Kompleks Stadium Shah Alam juga bakal memiliki kemudahan prasarana stesen transit aliran ringan (LRT) Stadium Shah Alam, hab transit bas, akses pejalan kaki dan laluan pejalan kaki berbumbung selain ruang legar mesra orang kurang upaya (OKU) serta ruang korporat. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram