Piala Sumbangsih: Kelab Rusia bongkar 3 pekung JDT, jadi tunggu apa lagi TFC?


  • Podium
  • Sabtu, 28 Jan 2023

JDT dan TFC bakal membuka tirai domestik Liga M 2023 dengan sepak mula Piala Sumbangsih pada 24 Februari depan. — Facebook/JDT

DEBARAN pembuka tirai kempen Liga Malaysia (Liga M) 2023 jelas semakin terasa apabila dalam tempoh kurang sebulan saja lagi, dua pasukan terbaik musim lepas bakal berentap merebut Piala Sumbangsih.

Dalam aksi pembuka tirai musim 2023 itu, juara Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT) bakal membuat perhitungan dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC (TFC).

Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan.

Atas kertas, reputasi gah yang dimiliki JDT sejak sekian lama pastinya sukar disangkal, namun mana tahu TFC berupaya melakar kejutan.

Ini memandangkan skuad Harimau Selatan tewas 0-2 di tangan kelab Rusia, FC Rostov dalam aksi persahabatan pramusim di padang bola sepak Ritz Carlton, Abu Dhabi, dekat Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Apatah lagi, RF Rostov seakan-akan membuka pekung kelemahan skuad JDT yang pastinya boleh dimanfaatkan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner ketika aksi Piala Sumbangsih kelak.

Biarpun masih terlalu awal untuk mengukur kekuatan Southern Tiger, tambahan pula ia sekadar aksi pramusim, tidak mustahil ia akan segera diatasi pengendali JDT, Esteban Solari dengan kadar segera.

Berikut antara tiga kelemahan JDT ketika ditewaskan Rostov tempoh hari yang menjadi perdebatan dalam kalangan pemerhati bola sepak domestik:

1. Pemain belum serasi

325414895_570132151795971_6372097790620394793_n

Aksi mesin gol JDT, Bergson Da Silva (kiri) ketika menentang kelab Rusia. — Facebook JDT

Disebabkan jendela perpindahan masih lagi dibuka selain terdapat campuran pemain baharu dan lama dalam JDT, kesebelasan utama skuad tersebut mungkin masih belum menemui keserasian.

Oleh itu, komunikasi ketika bermain atas padang juga difahamkan belum cukup kuat.

Hal itu merupakan satu kelebihan yang perlu diambil skuad Sang Penyu jika mereka berhasrat untuk mendakap Piala Sumbangsih.

Meskipun TFC turut melakukan rombakan ke atas skuad mereka, aksi persahabatan menentang Kelantan United baru-baru ini menunjukkan mereka semakin serasi.

2. Ketiadaan Natxo Insa

natxo-insa-jdt-3

Ketiadaan Naxto dilihat seolah-olah menempangkan skuad JDT. — JDT

Ketiadaan pemain tengah, Natxo Insa ketika perlawanan menentang FC Rostov sudah pasti seakan-akan merencatkan persiapan pasukan.

Apatah lagi, khabar angin mula bertiup kencang dengan ada yang mengatakan pemain berstatus naturalisasi itu sudah bersara, berdasarkan usianya yang mencecah 36 tahun.

Ketiadaan Natxo juga dilihat merencatkan perancangan JDT, dengan dia sering diturunkan dengan kemampuannya untuk membaca gerak-geri lawan di samping ketenangannya untuk melakukan hantaran pada musim sebelum ini.

3. Kawalan bola kurang baik

325988342_5876804559051816_4909990348036731283_n

Aksi penyerang JDT, Arif Aiman (kanan) ketika menentang FC Rostov — Facebook JDT

Kawalan bola yang dilihat kurang baik juga antara punca kekalahan JDT pada perlawanan tersebut.

Berdasarkan aksi menentang FC Rostov, segelintir pemain Harimau Selatan dilihat gugup untuk mengawal bola mudah, termasuk ketika melakukan hantaran pendek.

Tambahan pula, anak-anak buah Solari juga dilihat cukup bermati-matian dalam pertemuan itu berbanding pemain lawan yang tampak tenang dan bersahaja sepanjang 90 minit perlawanan.

Namun harus diingat, JDT masih berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Liga Super selama 9 tahun berturut-turut, selain mengumpul koleksi quadruple apabila muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2022.

Tidak hairanlah, aksi TFC-JDT ketika Piala Sumbangsih pastinya membuka lembaran baharu buat peminat kedua-dua pasukan menjelang saingan Liga Super yang semakin kompetitif dengan penglibatan 14 kelab elit tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram