Rombakan MFL jadikan saingan Liga Malaysia lebih rancak


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

PELBAGAI perubahan dilakukan MFL untuk merancakkan lagi kempen Liga Malaysia akan datang.

KANCAH Liga Malaysia 2023 yang menawarkan keseluruhan enam trofi kejuaraan menjanjikan saingan lebih menarik dengan perubahan penting dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kalendar perlawanan.

Perubahan paling menarik perhatian ialah jadual Liga Super menjadi lebih panjang apabila akan bermula 24 Februari sehingga 17 Disember melibatkan keseluruhan 182 perlawanan selepas terdapat penambahan 50 aksi berbanding musim lepas.

Peningkatan jumlah perlawanan itu dipengaruhi penambahan dua kelab bertanding, menjadikan keseluruhan 14 pasukan berbanding hanya 12 pada musim lepas.

Selain itu, Piala Malaysia yang akan berlangsung dalam tempoh saingan Liga Super untuk musim ini merupakan perubahan penting dibuat MFL, sekali gus menyaksikan kejohanan berprestij itu tidak lagi menjadi kemuncak Liga Malasyia pada akhir musim.

Badan pentadbir Liga Malaysia itu turut melakukan perubahan terhadap format perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada 24 Februari ini apabila perlawanan itu kembali dikira sebagai aksi pertama Liga Super.

Sementara itu, MFL mengesahkan perlawanan Sumbangsih akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor yang merupakan gelanggang tuan rumah, JDT.

KUALA LUMPUR, 5 Okt -- Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kiri) ketika sidang media mengenai Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM dan FIB Pelesenan Kelab FAM di Wisma FAM hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kata Stuart, masih terdapat perubahan yang bakal dilakukan ketika musim 2023 berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, masih terdapat beberapa perubahan yang akan dijalankan apabila terdapatnya kelab Liga Malaysia yang berentap di pentas Asia.

"Ia adalah hasil pemerhatian dari tahun lepas dan kami menyesuaikannya bagi musim 2023 dengan menghasilkan kalendar yang lebih tersusun tetapi (ada) juga beberapa soalan yang kami tak boleh lagi jawab iaitu (berkaitan) penyertaan kelab-kelab Malaysia dalam pertandingan anjuran AFC, kita tunggu proses undian berlaku.

"Kemudian, kita akan tahu JDT, Sabah dan Terengganu bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan serta jarak perjalanan mereka. Sedikit perubahan hujung musim perlu dibuat demi kepentingan semua,” katanya.

Pada masa sama, MFL turut mengumumkan sebahagian perlawanan Liga Malaysia 2023 akan bermula seawal antara 4.30 hingga 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak serta antara 5.15 hingga 5.30 petang bagi pasukan berpangkalan di Semenanjung.

"Langkah MFL untuk memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik,” kata Stuart.

Stuart berkata, dua waktu sepak mula sedia ada iaitu 8.15 dan 9 malam bagi kawasan Semenanjung serta 7.30 dan 8.15 malam bagi Sabah dan Sarawak dikekalkan namun pada bulan Ramadan perlawanan akan bermula pada 10 dan 9.15 malam masing-masing bagi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, penetapan kalendar musim 2023 turut mengambil kira tugasan dan perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sepanjang tahun.

Enam kejuaraan yang menjadi rebutan ialah gelaran Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan Bawah 23 Tahun).

MFL Challenge Cup atau dikenali sebagai Piala Cabaran sebelum ini, kembali dipertandingkan selepas tiga musim dengan penglibatan keseluruhan lapan pasukan yang tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Malaysia.

Kelapan-lapan pasukan itu akan terus beraksi di pusingan suku akhir MFL Challenge Cup bagi merebut kejuaraan yang kali terakhir dimenangi JDT II pada 2019.

Bagi Piala MFL yang julung kali dianjurkan, sebanyak 14 pasukan Liga Super akan menghantar skuad B-23 masing-masing dalam kejohanan itu selain turut disertai Skuad Projek FAM-MSN sekali gus menyaksikan penglibatan keseluruhan 15 pasukan bertanding. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram