Aksi Piala Sumbangsih JDT, Terengganu FC buka tirai Liga Super 2023


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

MFL memaklumkan aksi Liga Super 2023 akan berlangsung dari 24 Februari hingga 17 Disember 2023.

JUARA Liga Super Malaysia 2022, Johor Darul Takzim (JDT) bakal memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC.

Finalis Piala Malaysia 2022 itu akan berentap untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, aksi Liga Super 2023 akan berlangsung hingga 17 Disember yang turut menyaksikan Piala FA dan Piala Malaysia berlangsung dalam tempoh berkenaan.

"Perlawanan Liga Super pada musim depan akan bermula 24 Februari hingga 17 Disember dan ketika ini pemantauan kalendar dilakukan kerana ia juga membabitkan saingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)," katanya dalam pengumuman khas MFL yang disiarkan di YouTube Astro Arena pada Rabu.

Sementara itu, Stuart berkata, aksi Liga Super 2023 bakal membawa satu lagi perubahan besar apabila perlawanan akan diadakan bermula waktu petang.

Bagi aksi di Semenanjung, perlawanan akan bermula seawal pukul 5.15 petang dan 5.30 petang disusuli dengan aksi pada pukul 8.15 malam dan 9 malam.

Perlawanan yang berlangsung di Sabah dan Sarawak pula bermula lebih awal iaitu pada pukul 4.30 petang hingga 4.45 petang disusuli kick off pada 7.30 malam dan 8.15 malam.

Ketika bulan Ramadan, perlawanan akan bermula sedikit lewat iaitu bermula pukul 10 malam (Semenanjung) dan 9.15 malam (Sabah dan Sarawak).

"Langkah MFL untuk memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta memujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik," kata Stuart.

Bagaimanapun, waktu sepak mula perlawanan juga adalah tertakluk kepada penyiar rasmi dan MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram