Bayar dulu gaji atau PFAM teruskan dengan tindakan undang-undang


  • Podium
  • Selasa, 24 Jan 2023

SUFC bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain. — Facebook

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tetap akan membawa isu tunggakan gaji Sarawak United FC (SUFC) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun pihak pengurusan pasukan terbabit memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan menjelang Mac depan.

Laporan itu akan dibawa kepada pihak FAM melalui Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) agar badan induk tersebut dapat membuat keputusan segera mengenai kes berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, selagi semua pemain tidak mendapat bayaran gaji penuh, pihaknya akan tetap mengambil tindakan bagi tujuan perbicaraan NDRC.

"Dalam hal ini, pemain masih belum menerima tunggakan gaji masing-masing walaupun pengurusan SUFC sudah menyatakan kesediaan menyelesaikan semua tunggakan gaji mereka menjelang Mac ini.

"Jadi selagi pemain-pemain SUFC tidak menerima bayaran tunggakan itu, PFAM akan meneruskan proses undang-undang seperti biasa hingga mereka terima bayaran penuh," katanya kepada Majoriti.

1878105

Izham Ismail

Izham berkata demikian bagi mengulas laporan mengatakan pengurusan SUFC berusaha melunaskan tunggakan gaji membabitkan lebih RM1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais dilaporkan berkata, pembayaran tersebut akan diselesaikan selepas peruntukan kewangan diluluskan.

Sementara itu, PFAM menasihatkan agar pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus penuh dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman berat dikenakan terhadap pasukan itu.

PFAM juga meminta Sarawak United FC menghormati tempoh masa pembayaran tunggakan gaji yang sudah dipersetujui kerana kelewatan hanya akan menjejaskan kebajikan pemain.

Untuk rekod, SUFC dan Melaka United FC bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain dan isu itu memuncak pada penghujung saingan Liga Super musim lalu.

Malah, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kedua-dua pasukan itu untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram