LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat perubahan besar bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 apabila memperkenalkan waktu sepak mula baharu pada sebelah petang.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, ia akan melibatkan waktu sepak mula pada pukul 5.30 atau 5.15 petang di semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pada pukul 4.30 petang atau 4.45 petang.
Sebelum memutuskan untuk melakukan perubahan itu, MFL sudah mengkaji dengan mengambil kira waktu Maghrib yang lebih awal terutamanya di Sabah dan Sarawak.
"Bagi aksi hujung minggu, ada perubahan sepak mula di mana waktu 4.30 petang dan 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak manakala 5.15 petang atau 5.30 petang bagi Semenanjung Malaysia.
"Aksi sebelah malam pula pada hari bekerja pula membabitkan pukul 7.30 petang dan 8.15 bagi Sabah dan Sarawak sementara pukul 8.15 malam dan 9 malam untuk Semenanjung Malaysia," katanya ketika siaran langsung pada taklimat Liga M 2023 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis yang disiarkan di Astro Arena.
Menurut Stuart, langkah tersebut dilakukan bagi menyuntik suasana dan pengalaman baharu kepada penyokong serta memujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik.
Stuart mengumumkan perubahan sepak mula Liga M musim ini yang bermula seawal pukul 4.30 petang. — Bernama
Kejutan dari MFL itu mendapat pelbagai dari penyokong apabila rata-ratanya mengusik keputusan badan penganjur dengan mengadakan perlawanan pada waktu siang.
"Nama pun liga syok sendiri. Layan sajalah. Bising-bising buat apa, main petang ke main malam ke. Tak main ke, biar pergi dekat dia lah.
"Hebat MFL. 2024 kita buat perlawanan pukul 2 petang pula, tidak payah layan sangat cemuhan ini semua," komen penyokong bola sepak, Fadil Yusof.
"Lulus kalau tengok jadual Johor Darul Takzim (JDT) lawan Kelantan pukul 5:30. Perlawanan keempat kalau tidak silap. Pasukan lain pun dapat main pukul 5:30 walaupun hanya satu perlawanan," tulis penyokong, Mohamad Rizal.
Usikan itu timbul berikutan idea perlawanan pada waktu siang dicadangkan oleh pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada Julai 2022, Tunku Ismail meluahkan pandangan dalam sesi bersama peminat mengenai aksi pada waktu petang.
Baginda berkata demikian kerana menyukai suasana dalam saingan AFC Champions League (ACL) ketika menentang Ulsan Hyundai pada pukul 5 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram