Enggan berteka-teki, Tan Cheng Hoe jawab spekulasi 2 bintang import ke Selangor


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Di bawah kendalian Cheng Hoe, Selangor tidak tewas dalam sembilan daripada 11 perlawanan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia. — Facebook/Selangor

SELEPAS kehilangan penyerang berbisa, Herlison Caion ke Kuala Lumpur (KL) City FC, Selangor FC nampaknya masih mencari-cari pemain yang boleh mengisi posisinya.

Meskipun sudah berjaya mengikat penyerang kelahiran Ghana, Rauf Salifu, namun Selangor masih sahaja dikaitkan dengan kemasukan pemain skuad Bawah 23 tahun Paraguay, Danilo Santacruz.

Santacruz dikatakan pemain yang sesuai untuk mengemudi skuad Gergasi Merah kerana statistiknya bersama kelabnya pada musim-musim lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu memulakan karier profesional pada 2014-2018 bersama kelab Libertad sebelum menyertai kelab Nacional dalam Liga Paraguay.

Mengulas status sama ada Santacruz akan menyarung jersi Selangor, pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe sendiri masih belum dapat mengesahkannya.

santacruz

Santacruz dikaitkan akan menjadi penyerang utama Selangor. Agensi

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Kedah itu tidak menolak kemungkinan untuk mengambil pemain dari benua Amerika Selatan seperti Paraguay.

"Apa yang disarankan oleh pihak pengurusan, kami akan cari pemain dari Amerika Latin cuma tidak pasti sama ada dia (Danilo Santacruz) ataupun sebaliknya," katanya kepada Majoriti.

Selain daripada Santacruz, pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu juga dikaitkan akan menerima semula bekas penyerang mereka iaitu Ifedayo Olusegun.

Nama pemain berusia 33 tahun itu dikatakan akan bermain semula bersama Selangor selepas kelabnya sebelum ini iaitu Melaka United diturunkan pangkat ke liga amatur.

"Segala perancangan untuk bawa import seperti Ifedayo perlu dibincangkan dengan pengurusan.

"Tetapi kami masih memerhati dua hingga tiga penyerang yang mampu kemudi Selangor," tambahnya.

ifedayo

Ifedayo pernah memenangi anugerah kasut emas bersama Selangor. Facebook/Selangor

Untuk rekod, selain Salifu, Selangor juga menandatangani pemain tengah antarabangsa Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang mengikuti jejak rakan sepasukan negaranya, Yazan Al-Arab untuk bermain dengan skuad Red Giants.

Cheng Hoe juga berjaya mengikat penyerang utama negara, Faisal Halim dari Terengganu serta pemain pertahanan Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran masing-masing dari Negeri Sembilan dan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Perkembangan terkini mengenai skuad Gergasi Merah, kelab berkenaan bakal mengumumkan seorang penyerang import baharu pada Sabtu ini di SACC Mall, Shah Alam, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram