Barcelona FC ucap Selamat Tahun Baharu Cina buat Culers di Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Pemain Barcelona mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada peminat.

BARCELONA FC melancarkan sebuah video yang bertajuk New Year, New Era (Tahun Baharu, Era Baharu) bersempena Tahun Baharu Cina di samping beberapa perkembangan terkini termasuklah pemeteraian bersama bakat baharu serta pelancaran nama stadium yang serba baharu.

Presiden Barcelona FC, Joan Laporta berterima kasih kepada peminat Barcelona, Culers di Malaysia atas sokongan mereka dan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada peminat yang meraikannya.

Memetik hantaran mesejnya, Laporta berkata, “Kami telah melalui detik-detik menarik, mencabar dan penuh emosi sepanjang tahun 2022.

"Terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan anda, dan saya harap kami akan meraih lebih banyak detik gembira tahun ini.

"Selamat tahun baharu, saya mendoakan kegembiraan dan kesejahteraan anda. Tahun baharu, era baharu, Visca el Barca!”, katanya.

Pemain Barcelona, Eric Garcia, Ferran Torres, Jordi Alba, Inaki Pena dan Alejandro Balde turut menghantar ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada peminat.

Pada 22 Januari, Barcelona mengadakan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Stadium Camp Nou dengan pelbagai aktiviti menarik pada hari perlawanan dengan kerjasama bersama komuniti berbangsa Cina, pereka fesyen, artis visual dan pempengaruh.

FC Barcelona - Lunar New Year - 22 Jan Camp Nou-3

Pemain memakai jersi dengan nama dalam aksara Cina ketika perlawanan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah persembahan tarian naga dan singa tradisional oleh Unit Penya Blaugrana Dracs, persembahan muzik dan kaligrafi Cina.

Dalam perlawanan menentang pasukan Getafe, kedua-dua pasukan memaparkan nama mereka dalam aksara Cina ketika perbarisan dan pemain diiringi kanak-kanak daripada Kumpulan Penya Blaugrana Dracs.

Kelab itu turut menerbitkan satu siri Vlog bagi mendalami makna di sebalik Tahun Arnab dengan mempamerkan koleksi barangan kemas dan beg tangan bertemakan arnab porselin buatan tangan daripada jenama Sepanyol, Andres Gallardo menerusi pengasasnya.

Culers boleh mendapatkan stiker dan filter Barcelona di Instagram menerusi #rabbityear serta menyertai cabaran media sosial di TikTok.

Kempen Tahun Baharu Lunar tahun ini dilihat berupaya mengukuhkan komitmen kelab untuk berinteraksi dengan peminat dengan mencipta pelbagai kandungan terbaik bagi meraikan kepelbagaian budaya di seluruh Asia Pasifik.

Di samping itu, Asia Tenggara merupakan ‘rumah’ kepada lebih daripada 40 juta penyokong Kelab Bola Sepak Barcelona. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram