Elak rekrut 'striker recycle', Kedah bakal bawa ole-ole istimewa dari Turkiye


  • Podium
  • Isnin, 23 Jan 2023

KDA FC berada di tahap terbaik selepas berentap dalam beberapa aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/KDA FC

DALAM dua aksi persahabatan baru-baru ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat semakin mendapatkan rentak dengan kehadiran wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan.

Sentuhan pihak kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain diakui cukup terserlah dengan pemain dikatakan cukup bersemangat dalam membuktikan kebolehan masing-masing.

Langkah kanan mereka dalam perlawanan persahabatan dimulakan dengan kemenangan 4-0 ke atas Perlis United FC di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Kejayaan mereka diteruskan apabila menundukkan naib juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC dengan skor 2-0 dalam pertembungan yang diadakan di Stadium Darul Aman.

Namun, skuad Sang Kenari dilihat masih belum berpuas hati apabila mereka dikhabarkan akan meneruskan persiapan pra-musim dengan beberapa aksi persahabatan.

1902835

Willian (tengah) mula selesa mengemudi jentera serangan KDA FC.

Baru-baru ini, pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, empat perlawanan persahabatan akan berlangsung di Turkiye bagi menilai kebolehan anak-anak buah Nafuzi.

Meskipun masih berdiam diri akan pasukan yang bakal dihadapi, perkongsian lanjut mendapati mereka bakal berdepan pasukan dari negara itu dan beberapa pasukan dari Uzbekistan.

Hal itu semestinya menggembirakan penyokong Hijau Kuning yang cukup menghargai setiap percaturan dilakukan pihak pengurusan, terutamanya Daud Bakar.

Tidak cukup dengan itu, tinjauan di ruangan komen mendapati usahawan berusia 59 tahun tersebut seakan-akan memberikan satu lagi berita menggembirakan.

Katanya, seorang penyerang import bakal dibawa masuk ketika jendela perpindahan ini meskipun sudah berjaya menyambar khidmat Willian Lira dan Ebenezer Assifuah.

Perkara tersebut sepertinya mengundang buah mulut dalam kalangan penyokong dengan ada dalam kalangan mereka yang berasakan aksi pra-musim itu bertujuan untuk meninjau bakat pemain.

Walaupun hal itu tidak disahkan mana-mana pihak, terdapat tiga nama penyerang yang terikat dengan kelab Turkiye serta rasional untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan lagi jentera serangan KDA FC.

1. Ilhan Parlak

Musim lepas, Kayserispor bergelut dengan persembahan tidak konsisten sepanjang musim sehingga menyaksikan mereka hanya menduduki tangga ke-14 daripada 20 pasukan Super Lig.

Bagi menambah baik reputasi pasukan itu, pihak pentadbiran mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih, Hikmet Karaman bagi digantikan dengan Cagdas Atan.

Keputusan tersebut seakan-akan memberi sedikit perbezaan kerana ketika ini mereka berada di tangga kelapan dengan mengumpul 26 mata selepas 18 aksi liga.

Namun, perubahan itu tidaklah menggembirakan semua pihak, terutamanya kapten pasukan, Ilhan Parlak yang terus dilanda kemarau jaringan dengan hanya satu gol dicatatkan setakat ini.

WhatsApp Image 2023-01-22 at 21.55.36 (1)

Parlak semakin menghampiri penghujung kariernya. Agensi

Musim lalu, pemain berusia 36 tahun itu juga berdepan isu sama apabila hanya memperolehi tiga jaringan peribadi dalam kesemua penampilan.

Oleh itu, dia pastinya sudah berasakan bahawa ia adalah satu petanda yang dia sudah tidak sesuai untuk beraksi di tanah air selepas bertahun-tahun berkelana di Turkiye.

Liga Malaysia dilihat sebagai salah satu destinasi terbaik dengan rentak permainan yang lebih perlahan di samping perbezaan dari segi struktur fizikal pemain.

Jadi, dengan KDA FC bakal bertandang ke negara tersebut, apakah Parlak akan menjadi salah seorang penyerang yang akan diberi perhatian Daud Bakar dan Nafuzi?

2. Fode Koita

Selepas menjuarai Super Lig bersama Trabzonspor musim lepas, penyerang berdarah kacukan Guinea-Perancis, Fode Koita mengambil keputusan untuk berhijrah secara pinjaman.

Oleh itu, musim ini, pemain berusia 32 tahun itu menyertai kelab bawahan liga, Kasimpasa dalam usahanya mendapatkan semula rentak dan sentuhan di hadapan pintu gol.

Namun, setakat ini, penyerang berketinggian 1.86m itu hanya menjaringkan satu gol dalam empat penampilan selepas bergelut dengan masalah kecergasan.

Hal itu turut menyaksikan pasukannya menduduki tangga ke-14 dengan ketiadaan penyudah berkualiti jelas merencatkan gerakan yang cuba dilancarkan.

WhatsApp Image 2023-01-22 at 21.55.36

Koita masih gagal untuk berada di tahap kecergasan terbaiknya. Agensi

Jadi, pihak pengurusan Kasimpasa pastinya tidak bercita-cita untuk menyambung kontraknya, sekali gus menyaksikan dia sekali lagi akan memanaskan bangku simpanan di pasukan asalnya.

Usaha KDA FC untuk mendapatkan penyerang baharu sepertinya bakal terhenti di sini sekiranya mereka berjaya mendapatkan Koita walaupun secara pinjaman.

Walaupun dia masih bergelut dengan isu kecederaan, peranannya sebagai pemain berpengalaman di benua Eropah pasti menjadi satu perbezaan untuk skuad Sang Kenari.

Tambahan pula, berdasarkan informasi di laman sesawang transfermarkt, kontrak penyerang tersebut bakal berakhir pada Jun 2023, sekali gus membolehkannya berhijrah secara percuma.

3. Sindrit Guri

Selepas mencipta nama di liga Macedonia Utara, penyerang kelahiran Albania, Sindrit Guri mengambil langkah berani dalam kariernya dengan menyertai kelab bawahan Turkiye, Istanbulspor.

Keputusan itu serba sedikit menggugat reputasinya sebagai penyudah berkualiti apabila dia gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam penampilan Super Lig setakat ini.

Namun, perlu diingatkan bahawa penyokong tidak boleh menunding jari terhadap pemain itu dengan pasukan berpangkalan di Istanbul itu jelas bergelut sepanjang musim.

Selepas hanya merekodkan empat kemenangan dan tewas sebanyak 11 kali, keadaan Istanbulspor boleh disifatkan sebagai telur di hujung tanduk dengan mereka berada di tangga ke-18.

-640-0-1661434420xguri-1-937

Guri (tengah) pernah mencipta nama ketika berada di negara kelahirannya. Agensi

Oleh itu, sekiranya mereka gagal untuk mengubah nasib, pasukan yang baru sahaja berusaha dalam merancang kebangkitan mereka itu pasti akan kembali ke divisyen bawahan sekali lagi.

Perkara berkenaan pastinya menyebabkan Guri terbuka untuk berhijrah dengan dia tidak mahu untuk mensia-siakan bakat dan kebolehannya untuk beberapa tahun.

Jadi, dengan KDA FC turut berusaha untuk mencari penyerang baharu, pemain bertubuh sasa itu boleh dibawa masuk bagi mengurangkan beban yang dipikul Willian Lira.

Persoalannya, adakah persetujuan mampu tercetus antara kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi dengan Guri pastinya tidak mahu mengambil keputusan drastik dengan meninggalkan benua Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram