DALAM dua aksi persahabatan menjelang pembukaan Liga Super 2023, Kelantan FC dilihat masih tidak dapat menemui rentak terbaik selepas mencatatkan kekalahan berturut-turut.
Selepas tumpas di tangan Buriram United dengan keputusan 0-7, skuad The Red Warriors (TRW) sekali lagi ditundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan skor 0-2.
Aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat itu menyaksikan benteng pertahanan Kelantan FC gagal menyekat asakan bertali arus daripada pihak lawan.
Namun, bagi pemilik kelab, Norizam Tukiman, dia masih optimis dengan kemampuan naib juara Liga Perdana 2022 itu untuk bersaing dengan baik musim ini.
Tegasnya, kehadiran ketua jurulatih, Choi Moon-sik dipercayai akan menyuntik perbezaan buat pasukan di samping berjanji akan membawa masuk beberapa import baharu.
Setakat ini, pasukan Pantai Timur itu hanya berjaya membawa bekas pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit serta pemain tengah bertahan, Andreas Esswein yang disambar dari kelab Lubnan, Safa Beirut SC.
Walaupun sudah diturunkan dalam aksi persahabatan itu, kedua-dua pemain masih belum memberi sentuhan terbaik untuk membuktikan nilai mereka buat skuad.
Oleh itu, berdasarkan komen dan perkongsian di media sosial, tidak hairanlah apabila penyokong masih berharap Norizam akan terus melakukan pelaburan demi kebaikan kelab.
Tetapi, bagi seorang peminat setia Kelantan FC, Syed Muhammad Elyas, dia seolah-olah mempunyai cadangan bernas kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan kualiti pasukan.
Eui-chan (kiri) dan Ming-yu mempunyai potensi besar ketika aksi persahabatan menentang KDA FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
Menerusi satu hantaran, penyokong tersebut berpendapat prestasi anak-anak buah Moon-sik tentu bertambah baik sekiranya mereka mampu mengekalkan khidmat dua pemain kelahiran Korea Selatan, Kang Eui-chan serta Kim Ming-yu.
Meskipun kedua-dua mereka tidak diumumkan sebagai rekrut baharu TRW, pertemuan bersama KDA FC membolehkan mereka diturunkan sebagai medan percubaan untuk mengukur kemampuan tersendiri.
Keputusan untuk menurunkan duo tu bagai membuahkan hasil apabila rata-rata penyokong lain turut berhasrat agar kedua-dua pemain tengah itu dapat dikekalkan.
"Dua-dua lulus. Walaupun enjin tak panas lagi, tetapi pada saya, kena dengan gaya permainan. Dari segi rupa pula, mungkin boleh bantu untuk tujuan penjualan jersi nanti," kata Mohamad Amin Ikram.
"No 12 (Ming-yu) seperti OK cara permainnanya. Cuma nampak masih belum cukup kental untuk berdepan pemain lawan. Mungkin belum cukup cergas lagi," kata Zahid Zuri.
Sebelum ini, Norizam turut dikatakan berminat untuk menyambar khidmat penyerang antarabangsa Gambia, Nuha Marong dalam usaha menajamkan lagi jentera serangan.
Tetapi, dengan Kelantan FC juga difahamkan akan mengadakan beberapa lagi aksi persahabatan, kelemahan skuad TRW pasti akan mampu dikenal pasti, sekali gus membantu pihak pengurusan dalam merancang hala tuju mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram