KEDAH Darul Aman (KDA) FC berada dalam fasa terakhir persiapan untuk Liga Super 2023 apabila mereka dilihat hampir selesai dengan aktiviti perpindahan.
Pelaburan secara besar-besaran sudah dilakukan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar dengan membawa masuk beberapa pemain baharu, termasuk Lee Tuck dan Kalamullah Al-Hafiz.
Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Kenari juga dijangka lebih menyerlah dengan kehadiran pemain import, termasuk dua penyerang iaitu Willian Lira dan Ebenezer Assifuah.
Kedua-dua mereka dilihat berada di tahap masing-masing dengan Willian berjaya membuktikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan selepas mudah menjaringkan dua gol dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Bagi Ebenezer pula, kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya sebelum ini serba sedikit merencatkan rentak permainannya, seperti mana yang dapat disaksikan apabila diturunkan.
Posisi tersebut pastinya memainkan peranan penting bagi mereka sepanjang musim dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain pastinya tidak mahu isu kecergasan merencatkan perancangannya.
Willian (depan) mula mempamerkan sentuhan berkualiti dalam aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Baru-baru ini, penyokong Hijau Kuning menerima perkhabaran menggembirakan apabila Daud Bakar seakan-akan memberi gambaran mengenai kehadiran penyerang baharu.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu komen di laman Facebook peribadinya terhadap pandangan seorang penyokong yang berhasrat untuk melihat kehadiran pemain sandaran kepada Willian Lira.
"Dalam proses," katanya ringkas.
Lebih menarik lagi, respons yang diberikan itu sepertinya mengesahkan skuad Sang Kenari bakal menerima seorang penyerang berstatus import bagi menajamkan jentera serangan.
Meskipun masih tiada pengesahan mengenai calon yang bakal dibawa masuk, tiga nama dilihat sesuai dengan perancangan pasukan selain penilaian berdasarkan keberadaan masing-masing.
1. David Da Silva
Selepas membawa Terengganu FC ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021, penyerang kelahiran Brazil, David da Silva mengambil keputusan untuk berhijrah ke Indonesia untuk menyertai Persib Bandung.
Berdasarkan statistik musim lepas, pemain berusia 33 tahun itu masih tidak kehilangan sentuhan di atas padang apabila dia mudah menjaringkan 14 gol dalam 17 penampilan Liga 1 Indonesia.
Sumbangannya itu membolehkan Persib Bandung menduduki tangga ketiga liga dengan namanya terus disebut-sebut penyokong bola sepak apabila dia berada di tangga teratas carta penjaring terbanyak.
Da Silva menyerlah ketika bersama Terengganu FC selama semusim. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, dengan prestasinya masih berada di tahap teratas, tidak mustahil sekiranya KDA FC membuat satu bidaan untuk mendapatkan khidmatnya untuk musim ini.
Selain itu, pengalaman da Silva ketika beraksi dalam Liga Super juga melonjakkan lagi kemungkinan untuknya berhijrah, termasuk kerjasama yang pernah dicetuskan antaranya dan Nafuzi.
Ketika bersama Terengganu FC, pemain bertubuh sasa itu juga merupakan antara penyerang terbaik pada tahun tersebut selepas dia menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan liga.
Persoalannya, adakah da Silva akan terbuka untuk menyertai skuad Sang Kenari apabila keputusan tersebut pastinya akan meletakkannya di bangku simpanan.
Bagi KDA FC pula, kontrak pemain tersebut dengan Persib Bandung juga akan memaksa mereka untuk membayar pampasan yang pastinya memberi beban terhadap struktur kewangan mereka.
2. Ifedayo Olusegun
Kemelut kewangan dan pengurusan yang dihadapi Melaka United FC menyaksikan hampir kesemua pemain meninggalkan pasukan, termasuk penyerang import kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun.
Walaupun skuad Hang Tuah bergelut sepanjang musim, pemain tersebut masih berjaya membuktikan kemampuannya selepas menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan Liga Super.
Prestasi tersebut pastinya menjadi satu tarikan kepada pasukan Liga Malaysia yang masih berhasrat untuk menajamkan lagi barisan serangan untuk musim akan datang.
Baru-baru ini, penyerang berusia 32 tahun itu difahamkan mula menambat semula hati penyokong Selangor FC yang terbuka untuk menerima kepulangan pemenang penjaring terbanyak dua kali berturut-turut itu.
Ifedayo dikaitkan dengan kepulangan ke Selangor FC untuk Liga Super 2023.
Namun, hasrat berkenaan seolah-olah tidak akan kesampaian selepas skuad Gergasi Merah dikaitkan dengan kehadiran pemain Amerika Latin di samping kejayaan untuk mendapatkan penyerang kelahiran Ghana, Rauf Salifu.
Hal itu pastinya menyebabkan Ifedayo terpaksa mencari destinasi baharu untuk kariernya dan situasi tersebut perlu diberi perhatian KDA FC sebelum penutupan jendela perpindahan pada Februari.
Perkara itu pastinya diterima baik penyokong apabila pemain berkenaan pernah menjadi antara import yang paling digeruni dengan kelincahan dan sepakan deras kaki kanannya.
Bagi Ifedayo pula, dia juga pastinya menerima cadangan itu dengan baik apabila skuad Sang Kenari sedang menikmati satu tempoh yang baik sejak kehadiran Daud Bakar.
3. Ilija Spasojevic
Ketika Piala AFF 2022 sebelum ini, skuad Garuda dibanjiri beberapa pemain naturalisasi dan warisan yang jelas membawa perubahan terhadap prestasi pasukan.
Antaranya, penyerang kelahiran Montenegro, Ilija Spasojevic yang berjaya menjaringkan satu gol ketika aksi kedua Kumpulan A berdepan Brunei di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Jaringan tersebut jelas membuktikan bahawa pemain tersebut masih memiliki tahap kecergasan yang terbaik apabila dia sebelum ini pernah mewarnai arena bola sepak tempatan ketika mewakili Melaka United.
Adakah Spasojevic terbuka untuk pulang ke Liga Malaysia? — Agensi
Di peringkat kelab pula, pemain berusia 35 tahun itu masih merupakan antara penjaring terbaik Liga 1 Indonesia selepas dia mencetak 10 gol setakat ini bersama Bali United.
Bagaimanapun, sentuhan itu masih tidak dapat membawa pasukan meneruskan pencapaian muncul juara liga pada 2022 apabila mereka hanya berada di tangga kelima selepas 19 perlawanan.
Hal itu pastinya akan memberi sedikit perasaan kurang senang kepada Spasojevic yang mengharapkan sumbangannya membolehkan Bali United terus mengejar kejuaraan ketiga.
Selain itu, selepas hampir lima musim bersama pasukan itu, dia pastinya terbuka untuk berhijrah bagi mendapatkan cabaran baharu dalam suasana berbeza.
KDA FC dilihat sebagai satu destinasi yang sesuai apabila pasukan Utara tanah air itu pastinya terbuka untuk membawa masuk pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2016 itu.
Tetapi, dengan Sang Kenari masih berada dalam fasa penambahbaikan, adakah Spasojevic akan tertarik dengan visi yang cuba diterapkan Daud Bakar untuk satu tempoh yang panjang? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram