TATKALA penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) bergembira dengan persembahan import mereka, Willian Lira yang mencetak tiga gol dalam aksi pramusim setakat ini, perasaan sama turut dikongsi penyokong Terengganu FC (TFC).
Ini selepas kedua-dua import Sang Penyu, Ivan Mamut dan Domigoj Pusic membantu Terengganu FC mencipta kemenangan 2-1 dalam aksi menentang Kelantan United FC (KUFC) pada Sabtu.
Ivan menjaringkan gol pada minit ke-35 manakala Pusic mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-70. KUFC pula memperoleh gol pada minit ke-45 menerusi Asraff Aliffuddin.
Di sebalik kejayaan TFC, penjaga gol pasukan Hitam Putih, Suhaimi Husin yang diturunkan dalam perlawanan itu mendapat kritikan daripada penyokong kerana teragak-agak ketika mahu mengeluarkan bola dari kawasan penalti.
TFC juga dirasakan perlu memperkuatkan bahagian tengah yang dilihat agak longgar supaya dapat memberi sokongan kepada pemain di posisi lain.
Benteng pertahanan juga perlu diperkuatkan untuk memperkukuhkan pasukan lebih-lebih lagi bertemu lawan lebih kuat.
"TFC wajib ambil sekurang-kurangnya dua lagi pemain tempatan yang berkualiti dan berpengalaman untuk backup pemain import player jika jadual mereka padat.
"Pemain tempatan sedia ada masih jauh jurang untuk bersaing di liga super. Team yang solid adalah team yang ada kekuatan seimbang antara import dan tempatan di setiap posisi," kata seorang penyokong TFC, Affiza Afzan.
Begitupun, pada masa sama penyokong turut memuji corak permainan Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang banyak bermain short passes berbanding long ball.
Pusic sebelum ini bersama pasukan kelab dari liga Croatia, NK BSK Bijelo Brdo menandatangani kontrak bersama Terengganu FC bagi tempoh 1 tahun sehingga musim 2023 tamat.
Ivan pula memiliki profil digeruni memandangkan kelab terakhirnya adalah Steau Bucharest dari Romania yang beberapa kali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram