PERLAWANAN persahabatan yang diadakan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kelantan FC menyaksikan skuad Sang Kenari menang 2-0 dalam aksi pramusim di Stadium Darul Aman, pada Jumaat.
Berbeza dengan pertembungan semasa aksi Asean Charity Shields 2023 menentang pendahulu liga Thailand, Buriram United, skuad The Red Warriors (TRW) kali ini bertemu lawan yang lebih realistik.
Biarpun KDA FC nampak lebih matang dan hebat dari segi taktikal, Kelantan FC tidak memberikan jalan mudah untuk skuad Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain meraih kemenangan.
Ini dibuktikan apabila gawang TRW sukar ditembusi pada babak pertama perlawanan sehinggalah Nafuzi mengubah rentak permainan Sang Kenari pada separuh masa kedua yang menyaksikan KDA FC mencetak dua jaringan.
Sebahagian aksi antara pemain TRW dan KDA FC. — Facebook/ TRW Kelantan FC
Mengulas mengenai persembahan TRW, pemilik kelab Pantai Timur itu, Norizam Tukiman berkata, pujian harus diberikan kepada para pemain yang menunjukkan potensi masing-masing untuk bertanding di liga tertinggi area bola sepak Malaysia.
Menurutnya, buat masa ini, para pemain sedang beradaptasi dengan corak permainan baharu yang diterapkan oleh Ketua Jurulatih, Choi Moon-sik.
"Apa yang kita nak tengok daripada aksi friendly ini ialah keserasian antara pemain dan rakan sepasukan serta pemain dengan coach Choi sendiri.
"Pasukan masih menguji tahap kemampuan pemain dan kekurangan yang ada untuk kita tambah baik," katanya kepada Majoriti.
Norizam berkata, aksi tersebut juga sebenarnya adalah medan untuk mengenal pasti pemain yang bersesuaian untuk dibawa masuk dan sebaliknya dalam proses melengkapkan pasukan.
Moon-sik diberi masa lagi sebulan untuk mencari taktikal serta gaya permainan bersesuaian dengan skuad TRW. — Facebook/ TRW Kelantan FC
"Keputusan akhir perlawanan persahabatan ini tidak menjadi titik akhir pasukan untuk menjadi salah satu pencabar utama saingan Liga Super musim ini.
"TRW masih mempunyai baki masa sebulan untuk memperkemaskan corak dan struktur permainan. Lepas sebulan tu, ya saya nak tengok pasukan mula meraih kemenangan demi kemenangan," katanya lagi.
Tegasnya, tempoh sebulan dirasakan mencukupi buat Moon-sik dan barisan jurulatih lain mencari taktikal serta gaya permainan bersesuaian untuk mengharungi cabaran sebenar apabila Liga Super membuka tirai kelak.
"Insya-ALLAH, kita akan berusaha sehabis baik untuk menghasilkan keputusan yang positif," katanya.
Berada di divisyen teratas bola sepak tempatan buat pertama kali sejak 2018, Kelantan FC meletakkan sasaran untuk mengakhiri musim di kelompok lima teratas dalam persaingan liga daripada 18 pasukan mengikut format baharu Malaysian Football League. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram