SELEPAS meraih kemenangan 4-0 ke atas Perlis United, Kedah Darul Aman (KDA) FC meneruskan rentak sensasi dalam perlawanan persahabatan pramusim dengan membenam Kelantan FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
Awang import, Willian Lira terus menjadi sorotan berikutan dua gol yang dicetak pada minit ke-53 dan ke-84 perlawanan berkenaan.
Meskipun hanya dimasukkan pada babak kedua perlawanan, peledak dari Brazil itu berjaya mengubah permainan dan menyudahkan hantaran bola dengan sempurna ke gol lawan.
Dengan tiga jaringan menerusi dua aksi persahabatan setakat ini, Willian dilihat bakal menjadi peledak berbisa Sang Kenari musim ini.
Ia juga menandakan pemain berusia 29 tahun itu bakal memberikan saingan kepada pemegang takhta penjaring import terbanyak Liga Super, Bergson da Silva yang beraksi di Johor Darul Takzim (JDT).
Di atas padang, Willian dilihat semakin serasi dengan penyerang sayap, Fayadh Zulkifli yang banyak 'menyuap' bola ke kaki penggempur itu untuk menggegarkan gol lawan.
Di samping itu, dia juga nampak sedang membina chemistry dengan seorang lagi penyerang sayap, Al-Hafiz Harun.
Selain keserasian bersama rakan sepasukan, ada 3 sebab lain mengapa Willian dilihat bakal menjadi pemain berbahaya yang perlu diawasi lawan di atas padang.
1) Clinical Finishing
Pernah beraksi bersama kelab divisyen bawahan Jepun, Ventforet Kofu, Willian tidak mengambil masa lama untuk membuktikan kredibiliti dan memenangi hati penyokong dengan sentuhan klinikal di depan gol.
Teknik penyudah Willian yang mampu menyempurnakan gol walaupun ke sudut sukar gawang menjadikan dia antara pemusnah Sang Kerani yang wajar digeruni.
Bukan sekadar bijak menanduk bola, kemampuan Willian melakukan rembatan dan placing shot juga dilihat sempurna dengan ketenangan yang dimilikinya.
Fayadh dan Al-Hafiz antara dua pemain yang serasi dengan Willian. — Facebook / KDA FC
2) Pandai cari ruang
Selain boleh melakukan larian, Willian pandai mencari ruang untuk menempatkan dirinya di posisi terbaik untuk menerima hantaran bola dan menyudahkannya ke gawang lawan.
Baik menerusi sepakan mahupun tandukan, Willian memiliki mobiliti dan skil lincah untuk menghasilkan gol.
Bagi seorang penyerang, keupayaan mencari ruang dalam permainan amat penting bagi memudahkan rakan sepasukan melakukan lorongan, seterusnya mencipta gol.
3) Serasi dengan Nafuzi
Willian antara import yang menyerlah kerana tidak mengambil masa lama untuk mencipta keserasian dalam game play yang direncanakan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Dengan kecemerlangan yang ditunjukkan setakat ini, Willian perlu terus mengekalkan momentum dan mempersiapkan diri untuk menjadi antara tonggak yang diturunkan Nafuzi secara kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram