Natxo bakal bersara? 3 nama dipetik untuk gantikannya di JDT


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Natxo (kanan) memikul tanggungjawab besar untuk membantu serangan dan pertahanan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEJAK memulakan sesi latihan pra-musim, pemain Johor Darul Takzim (JDT) dilihat cukup bersemangat untuk meneruskan tahun yang cukup gemilang dalam sejarah pasukan itu.

Kebanyakan pemain dilaporkan berada di tahap kecergasan terbaik selepas diberikan pelepasan daripada barisan kejurulatihan sebelum memulakan aksi persahabatan pada 25 Januari menentang kelab Rusia, FC Rostov.

Berdasarkan perkongsian foto pemain di tapak latihan menerusi media sosial, kelihatan hampir keseluruhan tonggak skuad Harimau Selatan sudah melaporkan diri.

Namun, perkara yang menarik perhatian ialah apabila penyokong mula menyedari ketiadaan pemain tengah, Natxo Insa walaupun sudah lebih seminggu latihan dimulakan.

Khabar angin mula bertiup kencang dengan ada yang mengatakan pemain berstatus naturalisasi itu sudah bersara berdasarkan usianya yang mencecah 36 tahun itu.

Ketiadaan Natxo pasti akan merencatkan perancangan JDT dengan dia sering diturunkan dengan kemampuannya untuk membaca gerak-geri lawan di samping ketenangannya untuk melakukan hantaran.

Bagaimanapun, sekiranya berita berkenaan benar, pihak pengurusan kelab Selatan tanah air itu terpaksa mendapatkan pengganti bersesuaian ketika jendela perpindahan Liga Malaysia ini.

Persoalannya, melihat kepada kualiti pemain tengah dalam arena bola sepak tempatan, adakah terdapatnya seseorang yang memiliki kualiti seperti mana ditonjolkan Natxo setiap kali diturunkan?

Berdasarkan pemerhatian lanjut, terdapat tiga nama yang mampu memikul tanggungjawab untuk memberi keseimbangan kepada skuad Harimau Selatan dalam situasi menyerang mahupun bertahan.

1. Hong Wan

Ketika berita mengenai kehadiran Hong Wan ke JDT menular dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, keterujaan mula terpancar akan masa depan pemain muda itu.

Manakan tidak, pengalamannya ketika berada bersama skuad remaja kelab England, Wolverhampton Wanderers menjadikannya antara salah satu prospek terbaik untuk dibawa masuk ke dalam pasukan kebangsaan.

Statusnya sebagai pemain kacukan membolehkannya bermain bersama skuad Harimau Malaya dengan ramai pihak mula menanti-nantikan kebolehannya untuk menyerlah.

Tetapi, sejak menyertai JDT pada 2021, Hong Wan bergelut untuk mendapatkan tempat apabila ketua jurulatih lebih gemar untuk menurunkan Natxo dalam posisi khas itu.

Hong-Wan-JDT-1

Hong Wan masih tidak dapat membuktikan kemampuannya sejak menyertai JDT pada 2021. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal ini adalah kerana pemain berketinggian 1.76 meter (m) itu sering melakukan terjahan kasar sehingga memberikan sepakan percuma kepada pasukan lawan di situasi yang genting.

Namun, dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu terkenal dalam mengasah bakat, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya dia bakal membuktikan kemampuannya musim ini.

Tidak cukup dengan itu, ketiadaan Natxo dalam skuad utama akan membuka pintu lebih luas untuknya, ditambah pula dengan ketiadaan seorang lagi pemain tengah bertahan, Syamer Kutty Abba yang dibelenggu kecederaan.

Persoalannya, selepas tiga musim, mampukah Hong Wan akhirnya diberikan perhatian, lebih-lebih lagi dengan JDT cukup terkenal dengan kecenderungan mereka untuk melakukan pelaburan membeli pemain baharu.

2. Sanrawat Dechmitr

Selepas diambil alih oleh usahawan tempatan, Tan Sri Mohd Daud Bakar, Kedah Darul Aman (KDA) FC kelihatan lebih yakin untuk melangkah ke hadapan.

Hal tersebut dapat disaksikan apabila mereka melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad 2022 dengan keputusan untuk tidak mengekalkan hampir kesemua pemain import.

Antara yang menjadi 'mangsa' terhadap langkah drastik itu ialah pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr walaupun dia menjadi antara watak penting pasukan.

Meskipun bukanlah seorang yang mahir melakukan hantaran berkualiti, jeneral tengah pasukan itu cukup dikenali dengan kesungguhannya untuk merebut bola daripada pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-01-20 at 22.14.29

Ketangkasan Sanrawat bersama skuad Sang Kenari gagal membolehkannya kekal buat semusim lagi. Facebook/KDA FC

Ciri-ciri tersebut pastinya cukup digemari pasukan Liga Super yang mengharapkan seseorang yang sanggup bertungkus-lumus dalam membolehkan pasukan menyerang dengan lebih yakin.

Oleh itu, dengan Natxo juga memikul tanggungjawab untuk menyekat gerakan lawan, Sanrawat dilihat sebagai antara calon berkualiti untuk menutup ruang yang kemungkinan besar bakal ditinggalkan itu.

Tetapi, pemain berusia 33 tahun itu pastinya bukanlah pilihan penyokong JDT apabila pemain tersebut cukup dikenali dengan kecuaiannya ketika melakukan bentesan.

Sebagai contoh, sikap terburu-buru Sanrawat dapat disaksikan ketika dia dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Sabah FC, Saddil Ramdani dalam aksi Piala AFF antara Thailand dan Indonesia.

Jadi, hal tersebut pastinya diberi perhatian barisan kejurulatihan skuad Harimau Selatan yang tidak berhasrat untuk menjatuhkan reputasi mereka dengan kehadiran pemain berkenaan.

3. Akram Mahinan

Sebelum menempa nama bersama Kuala Lumpur (KL) City FC, pemain tengah, Akram Mahinan kerap terpalit dengan cemuhan penyokong bola sepak tempatan selepas persembahan hambar bersama skuad Harimau Malaya.

Perkara tersebut juga dapat disaksikan ketika dia menyarung jersi JDT pada 2013 hingga 2016 dengan peminat setia pasukan kerap mendesak barisan kejurulatihan untuk tidak menurunkannya.

Bagaimanapun, sejak berkhidmat bersama skuad Warga Kota, namanya mula dijulang-julang apabila dia menjadi antara tonggak utama ketika kemaraan pasukan ke peringkat Piala AFC 2022.

Akram-Kl-City

Akram menjadi antara watak penting skuad Warga Kota. Facebook/KL City FC

Prestasi konsisten itu juga membolehkannya dipanggil ke dalam skuad kebangsaan untuk kempen Piala AFF 2022, namun terpaksa ditolak selepas dia perlu diberikan waktu berehat bagi tujuan kecergasan.

Jadi, dengan bakat terpendamnya mula menonjol, tidak salah sekiranya pihak pengurusan JDT mula memikirkan untuk membawanya pulang bagi menggantikan Natxo.

Meskipun usianya mula mencecah 30-an, Akram masih memiliki stamina yang diperlukan untuk memberi tekanan kepada pihak lawan sekiranya diberi peluang beraksi.

Bagaimanapun, mampukah pasukan Selatan tanah air itu memancing khidmat pemain kelahiran Kulim, Kedah tersebut apabila ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak pastinya tidak mahu kehilangannya.

Selain itu, dengan lambakan pemain tengah di JDT, mampukah barisan kejurulatihan memberikannya minit permainan yang diperlukan seperti mana yang diperolehinya bersama juara Piala Malaysia 2021 itu? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram