Jangan tak percaya, 3 nama baharu Harimau Kumbang perlu diawasi NSFC dalam aksi pramusim


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Pertemuan antara Penang FC dan NSFC pada Liga Super musim lalu. — Bernama

BERBAKI beberapa hari lagi menjelang pembukaan tirai Liga Super pada Februari, beberapa pasukan sudah mula giat mengadakan perlawanan persahabatan untuk menguji pemain dan mencorakkan strategi terbaik pasukan mereka.

Antara yang bakal menguji kesediaan pemain sebelum Liga Super bermula ialah Negeri Sembilan FC dan Penang FC yang akan berlangsung pada 24 Januari depan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Melihat kepada aksi kedua-dua pasukan pada musim 2022, Penang FC mencatatkan keputusan yang tidak memberangsangkan, apatah lagi berada di tangga bawahan liga.

Malah, aksi Harimau Kumbang juga mendapat kritikan penyokong sehinggakan ada yang sudah mula berputus asa dengan pasukan itu.

Berbeza pula dengan skuad Jang yang berada di kelompok atas walaupun pada awal Liga Super mempamerkan aksi yang tidak menentu.

Namun, Penang FC nampaknya sudah tidak mahu mangsa belasahan pasukan lain dan mula mengambil beberapa pemain yang dilihat boleh menjadi ancaman kepada pasukan lain musim depan.

Berikut adalah tiga nama baharu dalam Harimau Kumbang yang perlu dikawal NSFC dalam aksi persahabatan kedua-dua pasukan kelak:

Soony Saad KPC

Soony Saad — Agensi

Selepas kehilangan khidmat penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva yang ke Sri Pahang FC, skuad Harimau Kumbang diperkuatkan dengan pemain antarabangsa Lubnan, Soony Saad.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu kelihatan selesa bersama rakan sepasukannya dengan kerap melakukan larian deras untuk mengelirukan pihak lawan.

Jadi, dalam pertembungan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan kelak, pertahanan Negeri Sembilan FC wajar untuk mengekori Soony dengan lebih rapat sepanjang 90 minit permainan.

Hal ini termasuk membaca gerakannya apabila dia mudah melepasi pihak lawan di samping tidak gentar untuk melakukan hadangan fizikal dengan berani.

IMG_20210325_28807

Ousmane Fane — Agensi

Walaupun Penang FC tidak mempunyai pelaburan yang besar, perkara itu tidak menghalang pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain kelahiran Perancis, Ousmane Fane.

Sebelum ini, pemain tersebut pernah mengumpul pengalaman dalam arena bola sepak tempatan apabila menyarung jersi UiTM FC sebanyak dua kali, iaitu pada 2020 dan dari 2021 hingga 2022.

Malah, pemain tengah berkenaan juga pernah beraksi dalam beberapa liga ternama termasuk divisyen bawahan England bersama Shrewsbury Town dan Morecambe FC.

Kualiti tersebut semestinya membawa perbezaan kepada skuad Harimau Kumbang yang memerlukan sentuhan di posisi tersebut selepas kehilangan import berpengaruh, Endrick Dos Santos yang berkelana ke Johor Darul Takzim (JDT).

Pertahanan skuad Jang perlu membendung gerakan Ousmane yang mudah mengucar-ngacirkan formasi lawan dengan hantaran menjerat.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 9.05.11 PM

Hadin Azman (tengah) — Facebook

Meskipun dikenali sebagai salah satu tonggak utama Kuala Lumpur (KL) City FC, pemain sayap, Hadin Azman memilih untuk meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan Liga Malaysia.

Usia yang muda iaitu baru berusia 28 tahun membuatkan Hadin masih lagi lincah di padang setiap kali diturunkan.

Malah, ketika bersama skuad Warga Kota, bekas pemain JDT itu juga berjaya mendapatkan kepercayaan daripada ketua jurulatih, Bojan Hodak meskipun aksinya di depan pintu gol lawan tidaklah terlalu membanggakan.

Jadi, ia membuktikan bahawa Hadin perlu dijaga rapi dengan tidak membenarkannya untuk melakukan hantaran mahupun melakukan larian deras, seperti yang kerap dilakukan sebelum ini.

Namun, belum pasti sama ada ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid akan menurunkannya ekoran kerap dibelenggu kecederaan sejak beberapa musim sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram