Tan Cheng Hoe yakin impak duo buat Selangor FC


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Sentuhan Cheng Hoe terus ditagih Selangor FC untuk kempen Liga Malaysia 2023. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS hanya menduduki tangga kelima Liga Super, Selangor FC pastinya mahu bangkit pada 2023 dengan melakukan persiapan rapi sebelum kempen bermula pada Februari.

Setakat ini, beberapa nama sudah berjaya ditandatangani, termasuk pemain sayap sensasi, Faisal Halim selepas kontraknya tidak disambung naib juara Piala FA 2022, Terengganu FC.

Perkara tersebut pastinya membawa perubahan besar kepada kualiti skuad dengan penyerang kelahiran Pulau Pinang itu merupakan watak penting buat Sang Penyu dengan enam gol dan sembilan bantuan jaringan dihasilkan dalam 20 aksi Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, sentuhan Faisal juga cukup ditagih ketika menyarung jersi Harimau Malaya ketika dia membantu pasukan kebangsaan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022.

Selain itu, dalam memperkukuhkan lagi benteng pertahanan, Selangor FC juga mendapatkan khidmat Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran selepas kedua-dua mereka cemerlang bersama kelab masing-masing.

Faisal-Halim-11

Faisal menjadi antara rekrut terbaik Selangor FC pada jendela perpindahan kali ini. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, bagi sebahagian penyokong Gergasi Merah, mereka masih mempersoalkan keputusan pihak pengurusan yang masih enggan membawa masuk lebih ramai memandangkan mereka bakal berdepan musim yang mencabar.

Hal itu berikutan kecederaan yang dialami Khuzaimi dengan beberapa laporan menyebut pemain berusia 29 tahun itu bakal disisihkan untuk masa panjang.

Bagaimanapun, bagi ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dia percaya keberadaan pemain tersebut selepas menyaksikan kualiti yang dipamerkan kesemua rekrut baharu tersebut ketika sesi latihan.

"Kita nampak dari latihan, Mickey (Faisal) dan Ruventhiran cukup komited dan sememangnya terlalu awal untuk kita mengharapkan sesuatu daripada mereka.

"Jadi, saya sebagai ketua jurulatih, saya yakin dengan kehadiran Mickey dan juga Ruven memberi kita impak yang terbaik kepada pasukan," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Pusat Latihan FA Selangor, Shah Alam.

V. Ruventhiran (left)

Ruventhiran (kiri) dijangka akan menjadi watak penting buat Selangor FC pada 2023.

Musim lalu, kehadiran pengendali kelahiran Kedah itu serba sedikit mengubah nasib skuad Gergasi Merah apabila pasukan tersebut berjaya melangkah ke final Piala Malaysia.

Walaupun tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT), pencapaian itu boleh dianggap sebagai membanggakan, lebih-lebih lagi apabila Selangor FC berdepan satu musim yang kucar-kacir pada 2022.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tahap kecergasan pemain, Cheng Hoe berkata, kesemua dalam skuad Selangor FC berada dalam keadaan terbaik kecuali Khuzaimi yang mengalami kecederaan ketika kempen Piala AFF.

"Saya rasa pemain-pemain lain sudah bersedia dari segi kecergasan, cuma Jimmy belum pulih daripada kecederaan semasa bersama skuad kebangsaan," katanya.

Ketika ini, juara sebanyak 33 kali Piala Malaysia itu difahamkan akan menyertai beberapa pasukan Liga Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan pra-musim di Thailand.

Bagaimanapun, dengan majoriti besar daripada pasukan baru sahaja pulang, ia serba sedikit dikhuatiri akan mengganggu kecergasan pemain selain dikhuatiri akan terdedah kepada kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram