PERPINDAHAN pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim ke Selangor FC menjadi buah mulut ramai apabila dia menjadi watak penting di sebalik kelayakan Terengganu FC ke pentas Asia.
Pada 2022, penyerang tersebut mencuri perhatian apabila dia memperolehi enam gol peribadi di samping merekodkan sembilan bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super.
Oleh itu, kelibatnya pasti dirindui penyokong Sang Penyu, lebih-lebih lagi dengan pasukan Pantai Timur berkenaan masih gagal membawa masuk pengganti bersesuaian.
Namun, di sebalik perpindahan Faisal ke Selangor FC, Terengganu FC seakan-akan berjaya memperolehi berita baik apabila mereka mengekalkan khidmat pemain sayap, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.
Selepas bakatnya tidak menyerlah bersama skuad Gergasi Merah, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu memilih untuk menyertai naib juara Liga Super 2022 itu secara pinjaman.
Nik Sharif menyerlah ketika dipinjamkan di Terengganu FC pada 2022. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun pasukan berkenaan dibanjiri pemain sayap, kehandalan bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengenal pasti kelebihan anak-anak buahnya memberi platform kepada Nik Sharif untuk menyerlah.
Dalam 18 penampilan dalam liga musim lepas, pemain berusia 25 tahun tersebut berjaya mencetak dua gol dan tiga bantuan jaringan untuk memacu pasukan tersebut.
Walaupun catatan tersebut tidaklah terlalu membanggakan, gaya permainan dan kesungguhan yang dipamerkan Nik Sharif kerap diberi pujian oleh penyokong Terengganu FC.
Jadi, tidak hairanlah apabila namanya ketika ini disebut-sebut sebagai pengganti bersesuaian untuk mengemudi jentera serangan skuad yang berada di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner pada 2023 ini.
Bagaimanapun, baru-baru ini, muncul satu lagi perkhabaran yang pastinya menggembirakan rata-rata peminat setia Sang Penyu selepas seorang lagi pemain menonjolkan bakat tersendiri.
Penyerang sayap berusia 20 tahun, Muslihudin Atiq Mat Zaid dilihat sebagai bakat besar yang dimiliki Terengganu FC apabila dia menyinar ketika membantu negeri itu merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.
Malah, bakatnya tersebut bukan sahaja menarik perhatian Johor Darul Takzim (JDT) hingga terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi apabila dikaitkan dengan pemain berkenaan.
Oleh itu, kejayaan Terengganu FC untuk mengekalkan khidmat pemain muda itu pastinya menyuntik semangat berbeza bagi membolehkan kelab Pantai Timur tersebut meneruskan pencapaian pada musim akan datang.
Bagi membakar lagi semangat tersebut, Atiq menerusi laman TikTok peribadinya memuat naik rakaman memaparkan aksinya dengan cukup baik dalam sesi latihan pra-musim.
Dalam video itu, pemain bersusuk tubuh kecil itu dilihat mudah menggelecek bola untuk menewaskan pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran lintang yang disudahkan rakan sepasukan.
Bakat yang dimiliki Atiq perlu digilap demi kebaikan pasukan. — Facebook/Terengganu FC
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai dengan beberapa penyokong mula berharap bakatnya tidak disia-siakan dengan dibawa masuk ke dalam skuad utama Sang Penyu.
"Pada saya, patutnya dia ni terus dibawa ke dalam Terengganu FC kerana fizikal dia juga dilihat semakin padu," kata Aril Mikael.
"Sedaplah dia ni bermain, harapnya Tomislav sebagai pengendali terbuka matanya untuk melihat Atiq," kata Tanya Sama Pokok.
Meskipun masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan, penyerang berkenaan dikatakan akan dibawa masuk ke dalam skuad utama bagi memperkuatkan pasukan.
Tetapi, dengan Nik Sharif sah dikekalkan untuk musim akan datang, masa depan penyerang sayap itu masih samar-samar dengan usianya yang masih muda dan lambakan pemain di posisi berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram